Menurut laporan berhubung dengan ucapan Datuk Zaidi Mohd Said pada sidang PAU hari ini, komuniti dan masyarakat Cina di Negeri Pulau Pinang telah digambarkan sebagai “mengaut keuntungan dan kuasa dengan melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi haram seperti perjudian, pelacuran dan pusat-pusat hiburan.” DAPSY Jelutong berpendapat bahawa kenyataan yang bersifat perkauman ini telah dibuat tanpa berasaskan mana-mana fakta yang konkrit dan mengundang bahaya terhadap masyarakat aman dan majmuk di Negeri Pulau Pinang.
Ketua Pemuda DAPSY Jelutong, Daniel Gooi juga berpendapat bahawa kenyataan sebegini adalah tidak adil buat pihak berkuasa tempatan khasnya pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang sentiasa berusaha bagi memastikan Negeri Pulau Pinang di antaranya negeri terselamat di seluruh negara.
“Kenyataan Datuk Zaidi Mohd Said ini seolah-olahnya menggambarkan tidak wujudnya sistem perundangan dan penghakiman di Negeri Pulau Pinang. Kenyataan sebegini telah mencemari martabat pihak PDRM atas usaha murni mereka yang boleh dibuktikan dengan rekod Negeri Pulau Pinang sebagai salah satu negeri di Malaysia yang mencatat kadar penurunan indeks jenayah tertinggi.”
Tambahan pula, kenyataan ini juga adalah tidak adil buat komuniti pekerja-pekerja di Negeri Pulau Pinang yang mencari nafkah secara halal. Bagi kebanyakan pekerja tersebut yang berkhidmat khasnya di sektor perindustrian dan perkhidmatan ini, usaha mereka ini bukan sahaja menjana peningkatan ekonomi di Negeri Pulau Pinang malah menyumbang kepada pendapatan negara di mana cukai pendapatan yang disumbangkan oleh Negeri Pulau Pinang adalah di antara tertinggi di seluruh Malaysia.
Selain isu tersebut, Datuk Zaidi Mohd Said juga menyatakan bahawa kekalahan teruk Barisan Nasional di Negeri Pulau Pinang adalah disebabkan oleh masyarakat Cina di Negeri Pulau Pinang yang tidak menyokong Barisan Nasional.
Daniel yang juga merupakan Bendahari Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen (JPKP) Jelutong membidas kenyataan yang dibangkitkan oleh beliau tentang sokongan masyarakat Cina.
“Datuk Zaidi seharusnya menerima hakikati bahawa kekalahan teruk Barisan Nasional di Negeri Pulau Pinang bukan disebabkan oleh kekurangan sokongan masyarakat Cina tetapi keseluruhan rakyat Negeri Pulau Pinang tanpa mengira kaum telah jemu dengan rasuah dan penyelewengan di dalam pentadbiran negeri.”