1. DAPSY Kebangsaan menyeru pihak PDRM untuk membebaskan mahasiswa dan aktivis yang mengangkat plakad dan mengadakan protes secara aman, serta menghentikan segala siasatan terhadap wartawan demi menjamin kebebasan bersuara dan media.
2. Dalam kes pencerobohan pusat hibutan di Cheras, dilaporkan bahawa PDRM memeriksa telefon bimbit wartawan dan mengarahkan supaya gambar dan video dipadamkan. Di samping itu, PDRM juga menahan tiga individu, termasuk aktivis dan mahasiswa, yang mengadakan protes aman berhubung isu Azam Baki. Tindakan sebegini telah mencetuskan suasana ketakutan serta kesan “chilling effect” dalam masyarakat.
3. DAPSY berpendirian bahawa tindakan pihak polis berpotensi menghakis hak asasi rakyat untuk bersuara serta hak wartawan dalam melaksanakan tugas pelaporan.
4. DAPSY menegaskan bahawa dalam sebuah negara demokratik, kebebasan bersuara dan media adalah nilai teras yang tidak boleh dikompromi. Para pengamal media berhak menikmati kebebasan asas dalam menjalankan tugas mereka, termasuk hak untuk membuat liputan, merakam serta melaporkan hal ehwal awam, selagi tidak menjejaskan ketenteraman awam.
5. Peranan para pengamal media bukan sahaja mencerminkan tanggungjawab profesional, malah merupakan tunjang kepada penyampaian kebenaran serta fungsi semak dan imbang dalam sesebuah negara. Justeru, tindakan polis dalam kes ini jelas telah melampaui batas dan mencabul kebebasan media.
6. Tindakan pihak polis ini bukan sahaja mencabul hak asas media, malah turut menjejaskan hak rakyat untuk mengetahui dan menjalankan fungsi pengawasan terhadap kerajaan. Apabila tindakan seumpama ini berulang, ia akan mewujudkan kesan “chilling effect” yang menyebabkan masyarakat takut bersuara dan mengkritik, sekali gus melemahkan sistem semak dan imbang serta menjejaskan asas demokrasi negara.
7. Dalam masa yang sama, DAPSY turut mengecam tindakan polis menahan tiga individu, termasuk aktivis dan mahasiswa, yang mengadakan protes aman berhubung isu Azam Baki.
8. Dalam sebuah negara demokratik, hak untuk menuntut akauntabiliti daripada kerajaan adalah hak asas rakyat. Selagi tindakan tersebut tidak menjejaskan ketenteraman awam, pihak berkuasa tidak seharusnya bertindak secara melulu dengan mengehadkan kebebasan bersuara rakyat.
9. DAPSY menekankan bahawa keutamaan kini adalah mempercepatkan siasatan terhadap isu pemilikan saham berlebihan melibatkan Azam Baki secara telus dan terbuka, serta memberikan penjelasan yang meyakinkan kepada rakyat, bukannya menyiasat aktivis dan pelajar sebagai satu bentuk pengalihan isu.
10. Era kerajaan autokratik di Malaysia telah berlalu, dan Kerajaan Perpaduan kini mendukung hak dan kebebasan bersuara. Maka, PDRM harus mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang, serta mengelakkan tindakan berlebihan yang hanya akan mencetuskan ketegangan dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
11. Sehubungan itu, DAPSY menyeru agar pihak polis segera menghentikan segala bentuk siasatan yang mengganggu tugas kewartawanan dan ekspresi aman rakyat, serta memastikan hak asas media dan masyarakat sivil terus dilindungi demi menjamin kelangsungan sistem demokrasi negara. Pihak penguatkuasa di bawah pentadbiran kerajaan Madani juga harus menunjukkan sikap lebih terbuka dan inklusif, serta menghormati kebebasan bersuara rakyat.