DAPSY Kebangsaan mengalu-alukan cadangan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menurunkan had umur pengundi seawal 18 tahun. Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan juga harus mengambil suatu langkah lanjut ke hadapan untuk melaksanakan sistem pendaftaran pengundi otomatik bagi semua pengundi-pengundi yang telah mencapai tahap umur mengundi.
Cadangan daripada Tun Dr Mahthir Mohamad merupakan satu cadangan yang bernas dan selari dengan perkembangan politik dan demokrasi sedunia. Selain daripada negara-negara seperti Thailand, Australia, Denmark, Italy, Jerman dan hampir 100 negara yang telah menetapkan had umur mengundi pada 18 tahun, negara Japan dan Taiwan juga pada baru-baru ini menurunkan had umur mengundi untuk referendum ke 18 tahun.
Langkah ini merupakan satu langkah yang patut dan perlu yang mana kita akan menunjukkan keyakinan kita kepada golongan anak muda untuk membuat pemilihan dan keputusan yang terbaik untuk masa depan negara. Ia juga merupakan satu pengiktirafan Kerajaan kepada peranan golongan anak muda dalam membantu untuk perkembangan demokrasi negara ini.
Setakat September 2017, terdapat 3.6 million warganegara Malaysia yang layak mengundi tidak mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi. Antaranya, 2/3 atau lebih kurang 2.5 million antara mereka adalah terdiri daripada golongan anak muda yang berumur antara 21 hingga 30 tahun. Keadaan ini sebenarnya bertambah serius selepas tahun 2013 yang mana Kerajaan Persekutuan BN pada ketika ini, melalui Suruhanjaya Pilihanraya, telah menamatkan kesemua perkhidmatan Penolong Daftar Pengundi untuk parti-parti politik. Ini merupakan satu tindakan yang bertentangan dengan perkembangan demokrasi.
Sistem pendaftaran pengundi otomatik adalah tidak asing di negara-negara demokrasi maju. Negara Jerman, Perancis, Belgium dan Sweden merupakan antara negara-negara yang melaksanaan polisi ini. Amerika Syarikat juga telah mengambil langkah ke hadapan dalam perkara ini yang mana rang undang-undang Sistem Pendaftaran Pengundi Otomatik telah diperkenalkan dan diluluskan termasuk di Oregon, California, West Virginia dan negeri-negeri yang lain.
Di Malaysia, Suruhanjaya Pilihanraya sememangnya telah mempunyai sistem hubungan talian terus dengan Jabatan Pendaftaran Negara, dan secara teknikalnya pendaftaran pengundi otomatik adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan segera.
Biarlah Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan menunjukkan tekad dan azam politik dalam isu ini dengan mengambil suatu langkah yang lanjut dalam melaksanakan sistem pendaftaran pengundi otomatik demi suatu pendemokrasian sistem pentadbiran yang menyeluruh. Ini merupakan salah satu pembaharuan sistem pentadbiran yang dinanti-nantikan.