Skip to content

DAPSY Kebangsaan Mengecam ADUN Kubu Gajah PAS yang Menabur Fitnah dan Mengeluarkan Perkataan Kasar dalam Sidang DUN Perak

1. DAPSY Kebangsaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan ADUN Kubu Gajah dari PAS, Khalil bin Yahaya, yang menabur tuduhan liar dan tidak berasas terhadap Ketua DAPSY Kebangsaan merangkap EXCO Kerajaan Negeri Perak, YB Woo Kah Leong, serta mengeluarkan perkataan “bangsat” dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak baru-baru ini.

2. ADUN Kubu Gajah dari PAS kononnya menuduh bahawa Ketua DAPSY Kebangsaan merangkap EXCO Kerajaan Negeri Perak, YB Woo Kah Leong, memfitnah dan tidak menghormati PAS. Namun, tindakan ADUN PAS yang menggunakan label “bangsat” yang amat kasar dalam Dewan Undangan Negeri Perak, walaupun kemudian menarik balik, telah mendedahkan kebiadaban dan budaya politik kasar yang semakin sinonim dengan PAS.

3. Hakikatnya, PAS bukan sahaja tidak layak bercakap soal fitnah, malah rekod menunjukkan parti itu saban waktu menabur tohmahan dan tuduhan tidak berasas terhadap pihak lain.

4. Sebelum ini, Pemuda PAS Selangor cuba menabur fitnah dengan memberi gambaran palsu bahawa YB Woo Kah Leong memuat naik hantaran selepas Mursyidul Am PAS dimasukkan ke wad. Tuduhan tersebut akhirnya terbukti tidak benar sama sekali, dan insiden itu sekali lagi menunjukkan bagaimana PAS lebih berminat bermain persepsi daripada bercakap berdasarkan fakta.

5. Lebih memalukan, mantan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, mempunyai rekod panjang membuat fitnah terhadap pelbagai pihak. Beliau pernah menuduh bahawa warganegara China yang mengibarkan bendera China adalah rakyat Malaysia, dan akhirnya tuduhan tersebut telah terbukti tidak benar.

6. Selain itu, Razman juga pernah menuduh bahawa Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, mempunyai kaitan dengan keluarga pengasas Kumpulan YTL. Tuduhan tersebut akhirnya dipadam dan disusuli dengan permohonan maaf, sekali lagi membuktikan keghairahan PAS menabur fitnah tanpa asas.

7. Sudah terang lagi bersuluh bahawa insiden-insiden ini bukanlah kes terpencil, tetapi merupakan corak konsisten bagi modus operandi PAS: menabur fitnah dahulu, dan hanya memohon maaf apabila terbukti salah. Sikap tidak bertanggungjawab sebegini amat memalukan dan merosakkan integriti politik negeri Perak dan negara.

8. Oleh itu, DAPSY Kebangsaan menyeru PAS agar mencermin diri terlebih dahulu sebelum menuduh orang lain. Menyalahkan pihak lain atas perbuatan yang PAS sendiri lakukan berulang kali menunjukkan tanda kebiadaban politik yang memalukan dan tidak wajar wujud dalam landskap politik moden. Rakyat berhak melihat budaya politik yang matang, bersikap jujur dan berasaskan fakta, bukannya fitnah dan tohmahan yang tidak berhenti-henti.