DAPSY Kebangsaan menuntut MCA dan Gerakan untuk sedar diri dalam isu penggantungan Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya (PBCUM) dan tidak lagi menjustifikasikan tindakan pihak universiti yang jelas menzalimi dan menindas autonomi kampus yang kian hilang di bawah pentadbiran UMNO BN.
Pihak universiti melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya (HEPA UM) telah membekukan PBCUM sehingga semester baharu tahun depan dan persatuan tersebut tidak dibenarkan untuk menjalankan sebarang aktiviti. Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) turut menghadapi masalah yang sama walaupun tempoh pembekuan hanyalah sebulan.
Dalam pada itu, MCA dan Gerakan telah berjumpa dengan pimpinan PBCUM dengan dalih lapuk bahawa ingin membantu PBCUM untuk menyelesaikan kemelut tersebut. Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai telah menyifatkan bahawa PBCUM sebenarnya telah melakukan kesilapan dan patut dihukum manakala wakil MCA, Ng Kian Nam yang turut merupakan bekas Yang Dipertua PBCUM telah menyatakan bahawa sesetengah aktiviti PBCUM telah dibenarkan keberlangsungannya atas usaha MCA yang berunding dengan pihak universiti.
Sesungguhnya varsiti adalah milik kepada para mahasiswa/wi dan mahasiswa/wi sepatutnya memegang autonomi kampus dan menjalankan sebarang aktiviti tanpa sebarang halangan.
Perihal sebegini adalah amat lumrah pada tahun 1960-an yakni sebelum wujudnya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Ketika itu, University of Malaya Students’ Union (UMSU) merupakan pentadbir varsiti dan semua pertubuhan mahasiswa adalah memiliki autonomi kewangan masing-masing dan bebas untuk mengadakan sebarang aktiviti tanpa dibelenggu oleh pelbagai kerenah birokrasi seperti kini.
Selepas AUKU yang berniat untuk melenyapkan gerakan mahasiswa diluluskan oleh UMNO MCA di dalam Parlimen, mahasiswa telah mula kehilangan autonomi dalam segala aspek pentadbiran kampus dan agen kerajaan iaitu HEPA telah diwujudkan demi mengawal segala tindak-tanduk warga kampus dan boneka pelajar rejim UMNO BN melalui pelbagai jelmaan nama seperti Aspirasi ataupun Penggerak telah dilahirkan demi memenuhi keperluan politik rejim UMNO BN.
Tidak kiranya masalah pembekuan PBCUM mahupun isu penggantungan PMIUM, punca sebenar adalah disebabkan pelaksanaan AUKU yang telah menggadaikan hak mahasiswa untuk mengadakan sebarang aktiviti tanpa sebarang kekangan.
Sebagai sebahagian dalam kerajaan persekutuan, MCA dan Gerakan bukan sahaja tidak memansuhkan AUKU yang mengekang hak mahasiswa demi menyelesaikan masalah utama yang membelenggu mahasiswa/wi selama ini, malah kenyataan Naib Presiden Gerakan tersebut yang seolah-oleh membantu pimpinan PBCUM sebenarnya adalah sedang menjustifikasikan tindakan zalim pihak universiti yang tidak munasabah.
DAPSY Kebangsaan mendesak barisan MCA dan Gerakan kini untuk tidak lagi mengikut jejak pimpinan terdahulu yang telah menggadaikan hak mahasiswa/wi.
Sekiranya betul-betul berniat untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh pimpinan mahasiswa kini, MCA dan Gerakan yang merupakan sebahagian kerajaan persekutuan wajib memansuhkan AUKU yang telah menyekat kebebasan mahasiswa untuk mengadakan aktiviti.
Usahlah berwayang kulit padahal diri sendiri merupakan sebahagian dalam tindakan penzaliman tersebut.