Skip to content

DAPSY Kecam Akmal Saleh – Jangan berlagak “hero” apabila diri sendiri adalah “zero”

1. DAPSY Kebangsaan mengecam sekeras-kerasnya kenyataan mengarut daripada Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh yang tidak menunjukkan sebarang rasa keinsafan setelah disiasat oleh pihak polis, malahan masih mengamalkan sikap dwi-piawaian & menunjukkan betapa hipokritnya dalam isu Jalur Gemilang.

2. Sikap hipokrit dan “double standard” Akmal terbukti apabila Akmal menyeru siasatan tegas terhadap kesalahan sekolah biasa dan peniaga kecil, namun tidak berpegang teguh kepada piawaian yang sama ketika Pemuda UMNO Terengganu sendiri memaparkan grafik Jalur Gemilang yang salah, juga memilih untuk melepaskan tangan apabila PAS membuat kesalahan sama. Adakah dalam mata Akmal, Pemuda UMNO & PAS adalah VVIP yang tidak boleh disentuh?

3. DAPSY juga menyelar kenyataan mengarut Akmal yang dengan degilnya menyatakan bahawa beliau hanya memperbetulkan keadaan tetapi dianggap sebagai bersalah. Hakikatnya, pemilik kedai perkakasan yang melakukan kesilapan telah memohon maaf secara terbuka dan disiasat oleh polis, namun Akmal masih mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan tetap mengetuai perarakan ke kawasan tersebut dengan tujuan membuli peniaga tempatan. Tanggungjawab untuk membetulkan keadaan adalah bersandarkan bidang kuasa pihak & agensi berkenaan, bukannya individu yang berlagak “hero” tetapi sebenarnya “zero”.

4. Tindakan Akmal yang biadab bukan sahaja menimbulkan keresahan penduduk setempat terhadap keselamatan dan keamanan, tetapi perniagaan juga terjejas kerana para peniaga terpaksa menutup premis lebih awal bagi mengelakkan kebarangkalian wujudnya sebarang tindakan samseng yang mengundang kerosakan.

5. Sedarilah bahawa “satu jari yang menunjuk pada orang lain, empat lagi menunjuk pada diri sendiri”. Sekiranya kesalahan rakyat biasa boleh mencetuskan kelas “ajar cara pasang bendera betul” dan perarakan daripada Akmal, mengapa tidak dilakukan ketika Pemuda UMNO Terengganu melakukan kesilapan serupa? Tiada lawatan, tiada kelas bendera, tiada perarakan, tiada desakan untuk mendakwa dalam masa dua hari dan hanya pereka poster yang dijadikan kambing hitam. Ini membuktikan bahawa retorik Akmal adalah begitu hipokrit sekali dan cakap tak serupa bikin.

6. DAPSY menyeru Akmal Saleh agar menghentikan segala retorik perkauman, belajarlah untuk menjadi teladan yang memupuk semangat perpaduan dalam bulan Kemerdekaan, bukannya menjadi mush dalam selimut atau ejen Perikatan Nasional yang menjahanamkan keharmonian masyarkat majmuk.