1. Tindakan Pemuda PAS yang menyebarkan fitnah dan menghasut rakyat untuk berhimpun membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar berdasarkan pembohongan boleh membawa rebah kepada negara dan rakyat.
2. DAPSY menyokong sepenuhnya hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara, namun tindakan PAS yang mengapi-apikan sentimen perkauman berdasarkan fitnah dan berita palsu terhadap RUU PSB perlu dikecam.
3. Tahap ketidakmatangan pemikiran pemuda-pemuda PAS yang ada hari ini menyerlahkan lagi sikap menangguk di air yang keruh, sekadar mengambil kesempatan untuk menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat berdasarkan pembohongan.
4. RUU PSB ini dirancang untuk memperbaharui kawasan bandar yang usang, meningkatkan kualiti hidup penduduk, dan memastikan pembangunan yang lebih teratur.
5. Bahkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menyatakan jaminan bahawa hak pemilik asal tidak akan diketepikan. Populasi kaum juga tidak akan berubah susulan daripada jaminan tersebut.
6. Menteri KPKT, YB Nga Kor Ming juga telah menegaskan bahawa RUU ini tidak akan meminggirkan atau merampas hak mana-mana kaum atau golongan berpendapatan rendah, khususnya golongan B40.
7. Sudah terang lagi bersuluh, naratif PAS bahawa RUU ini menjejaskan hak pemilik hartanah Melayu di bandar adalah sangat tidak berasas dan lemah.
8. Ini kerana pihak kerajaan telah memberi jaminan bahawa pelaksanaan pembaharuan semula bandar akan mengambil kira kepentingan semua pihak. Proses ini memerlukan persetujuan majoriti pemilik hartanah sebelum sebarang projek dimulakan, memastikan hak dan kepentingan pemilik terpelihara.
9. Usaha untuk membangunkan semula bandar telah dimulai sejak tahun 2020 apabila mantan Menteri Wilayah Persekutuan menerajui Program pembaharuan terutama rumah pangsa yang berusia lebih 41 tahun. Seterusnya RUU Pembaharuan Semula Bandar telah dibentangkan dalam mesyuarat-mesyuarat sejak 2021 semasa kerajaan terdahulu ketika Zuraidah dan Reezal Merican menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
10. Berikut adalah tarikh penting yang membuktikan bahawa inisiatif ini bukan sesuatu yang tiba-tiba dicipta oleh kerajaan hari ini:
4 Mei 2021: Pembentangan di Mesyuarat JPP PLANMalaysia.
21 Mei 2021: Pembentangan di Mesyuarat Pre Council JPP KPKT.
23 Jun 2021: Pembentangan di Mesyuarat Pengurusan KPKT. Bil.21/2021
7 Disember 2021: Pembentangan Draf Garis Panduan Pelaksanaan di MEXCOPT. ( EXCO-EXCO bagi bahagian Perumahan dan Kerajaan Tempatan)
11. Semua ini berlaku ketika Perikatan Nasional masih memegang kuasa, tetapi kini PAS cuba menghasut rakyat seolah-olah kerajaan perpaduan yang ada hari ini yang mencipta RUU ini untuk kepentingan tertentu.
12. Soalnya, adakah Pemuda PAS mahu menafikan hak golongan B40 dalam apa juga kaum untuk mendapatkan kediaman yang bermaruah dan lebih baik? Atau adakah PAS sebenarnya gentar apabila Kerajaan Perpaduan hari ini dapat memberikan kesejahteraan dan keselesaan kepada kepada rakyat khususnya kaum Melayu di bandar kerana tiada lagi hujah Melayu terancam yang boleh dimainkan selepas ini?