Skip to content

DAPSY kecam tindakan terrorisme di Christchurch, New Zealand

Bagi pihak DAPSY, saya ingin menyampaikan salam takziah kepada warga Christchurch dan New Zealand.

Solidariti saya buat mantan Presiden IUSY dan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. Mudah-mudahan diberi kekuatan dan kemudahan untuk anda di saat-saat yang genting ini.

Apa yang berlaku di Christchurch adalah sebuah tindakan kejam dan ganas. Ia jelas adalah satu terrorisme yang menunjukkan betapa jeleknya kemanusiaan kita.

Wisma Putra setakat ini melaporkan tiada rakyat Malaysia yang terkorban. Tetapi dua rakyat Malaysia telah tercedera dan sedang menerima rawatan. Ingatan kami bersama mangsa insiden tembakan dan keluarga mereka yang tercinta.

Tidak seharusnya pengikut mana-mana agama yang cintakan keamanan mengalami sebarang bentuk serangan keganasan. Terrorisme mungkin kononnya dilakukan atas agama atau pendustaan agama oleh penganut jahil yang terperangkap dalam kebencian; namun tiada kepercayaan atau ajaran agama yang cintakan keamanan mengizinkan atau menerima keganasan.

Marilah kita bersatu menolak seruan ke arah tuding menuding, merawat kanser kebencian dan ekstremisme dengan keluhuran undang-undang dan aksi kemanusiaan yang agung. Mereka yang bertanggungjawab atas serangan keganasan ini mesti dihukum sekeras-kerasnya melalui tindakan undang-undang.

Ini bukanlah masanya untuk menghakis keyakinan kita kepada kemanusiaan, tetapi kita harus terus mengukuhkannya. Kebencian mestilah tidak dilawan dengan kebencian, tetapi dengan menyatukan mereka untuk bersolidariti antara satu sama lain.