Skip to content

DAPSY kecewa dengan keputusan mahkamah ke atas aktivis anak muda Sdr Adam Adli

Pertama sekali saya mewakili rakan-rakan Dapsy seluruh Malaysia melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang telah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas bekas pemimpin pelajar Adam Adli Abdul Halim, setelah didapati bersalah di bawah Akta Hasutan 1948.

Sekali lagi seorang anak Malaysia menjadi mangsa Akta tersebut selepas Sdr Safuan Anang dijatuhkan hukuman 10 bulan penjara.

Kami merasa amat dukacita melihat bagaimana undang-undang yang seharusnya digunakan untuk melindungi hak dan kebebasan bersuara telah disalahgunakan dengan sewenang-wenangnya, sehingga demokrasi yang kita amalkan selama ini telah bertukar menjadi mimpi ngeri bagi para pejuang demokrasi.

Kami berharap Sdr Adam Adli akan merayu atas hukuman tersebut kerana beliau pada prinsipnya tidak bersalah. Ini juga untuk menunjukan bahawa pejuang demokrasi tidak akan sekali-kali tunduk dengan tekanan undang-undang yang menodai hak asasi.

Kami daripada Dapsy sedia menawarkan apa jua bantuan sebagai tanda solidariti terhadap Sdr Adam Adli.

Kami juga ingin mengingatkan kepada mana-mana pihak yang memanipulasi Akta Hasutan bahawa kami anak muda tidak akan berganjak daripada pendirian kami untuk terus menyokong dan berkempen untuk memansuhkan akta hasutan.