Skip to content

DAPSY membidas kenyataan Ketua Biro Undang-Undang Keadilan, Latheefa Koya yang langsung tidak munasabah serta memutarbelitkan fakta sebenar

Dalam catatan Facebook Latheefa Koya semalam, Latheefa cuba mengingatkan sesetengah pihak supaya tidak mengadu ‘ditinggalkan telanjang selepas berbogel’ dan cuba membangkitkan beberapa isu yang tidak berasas langsung.

Saya ingin mengingatkan Latheefa Koya bahawa DAP tidak pernah mengumumkan pilihan raya mengejut secara sebelah pihak, malah ada sesetengah pihak yang bimbang untuk menghadapi pilihan raya telah membocorkan berita tersebut kepada media. Siapa yang makan cili, dialah yang rasa pedas.

Berkenaan dengan dakwaan pembubaran Pakatan Rakyat dan pembentukan Pakatan Harapan, sesungguhnya PAS yang membatalkan kerjasama politik dengan DAP dalam Muktamar Dewan Ulama PAS pada 6 Jun 2015 terlebih dahulu, maka DAP hanya terpaksa menyatakan bahawa Pakatan Harapan tidak kekal lagi dan ini tidak sama dengan pembubaran Pakatan Rakyat secara sebelah pihak. Dan tanpa penyertaan Keadilan, Pakatan Harapan tidak mungkin dibentuk dan berita pembentukan tidak mungkin akan diumumkan. Sedangkan pelancaran Pakatan Harapan di Shah Alam pada 9 Januari 2016 dirasmikan oleh Presiden Keadilan Dr Wan Azizah dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu. Adakah Latheefa Koya tidak memahami logik mudah sebegini?

Latheefa Koya turut menjustifikasikan ketakutan Keadilan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang dengan cuba menyatakan bahawa alasan DAP untuk mengadakan PRN selalu berubah dan tidak konsisten. Berbeza dengan Keadilan yang selalu berubah dalam isu MB Selangor, DAP tidak pernah berubah dan memang bertekad untuk menggabungkan semua isu yang sedia ada untuk menghadapi PRN Pulau Pinang. Tidak ada konflik bagi parti untuk membangkitkan isu referendum terhadap Najib di samping memperoleh mandat rakyat seperti mana Keadilan cuba untuk mendapat mandat rakyat Permatang Pauh demi memanifestasikan sokongan rakyat kepada Presiden Keadilan.

DAP telah menyokong penuh Keadilan dalam beberapa percaturan politik yang diajukan oleh Keadilan seperti mana dalam krisis MB Selangor dan juga Kajang Move. Daripada Wan Azizah kepada Azmin Ali, DAP tetap berperanan sebagai rakan seperjuangan yang konsisten, setia dan tidak pernah membelakangi pemimpin Keadilan seperti mana satu lagi kawan karib Keadilan yang gemar menikam dari belakang. Walaupun Keadilan mengambil masa yang panjang dalam menentukan kewajaran PRN Pulau Pinang berbeza dengan keputusan tangkas Kajang Move, namun DAP tetap menghormati keputusan berlengah Keadilan yang dilihat boleh memberikan ruang bernafas kepada rejim Najib.

Sekali lagi DAPSY menasihati Latheefa Koya supaya membetulkan fakta dan tidak lagi melakukan serangan yang tidak berasas kepada rakan komponen parti. Sama-samalah kita memikul berat dan cabaran semasa politik ini dan bukannya bersikap umpama kacang lupakan kulitnya.