Skip to content

DAPSY membidas tindakan pihak polis yang menyalahgunakan kuasa dan tidak mengikut prosedur dalam penyiasatan terhadap pimpinan mahasiswa

DAPSY membidas tindakan pihak polis yang menyalahgunakan kuasa dan tidak mengikut prosedur dalam penyiasatan terhadap pimpinan mahasiswa. Serbuan telah dibuat tanpa waran dan seorang saksi kejadian tersebut telah ditahan tanpa alasan yang munasabah.

Pada 7 November @ pukul 3.15 pm, pasukan polis telah melakukan serbuan terhadap premis Robin Yap yang merupakan presiden UMANY. Pasukan polis yang bertugas bukan sahaja gagal mengemukakan waran, mereka juga bertindak kasar dan berkelakuan buruk semasa berurusan. Saudara Wong Yan Ke yang merakam proses serbuan tersebut turut ditahan oleh pihak polis di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, anggota polis tersebut telah cuba menyelindung salah laku beliau dengan menghalang sebarang rakaman. Saksi tersebut telah ditahan dan disiasat atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Setiausaha DAPSY Kebangsaan Teh Hoong Keat yang turun padang bersolidariti bersama mahasiswa yang dizalimi menegaskan kebebasan diri adalah hak Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dicabuli dan Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia dan maka tiada orang boleh ditahan tanpa sebab yang munasabah.

DAPSY menuntut saudara Wong Yan Ke dibebaskan dengan segera tanpa berlengah lagi dan mendesak Menteri Dalam Negeri untuk menyiasat penyelewengan dan salah laku anggota polis yang terlibat dalam penyiasatan ini. Melalui DAPSY, aduan yang rasmi turut akan dikemukakan kepada badan-badan yang berkaitan dalam masa yang terdekat.