Pihak pentadbiran UIA tidak berhak untuk bercampur tangan dalam aktiviti ataupun forum mahasiswa dan tindakan pihak keselamatan UIA yang merampas mikrofon Rafizi Ramli ketika berucap adalah amat biadab dan menjatuhkan imej dan reputasi UIA sekaligus. DAPSY mengutuk keras tindakan pihak pentadbiran UIA demikian,
Difahamkan forum GST yang diadakan di UIA semalam adalah anjuran SRC (MPP) UIA. Penceramah termasuk Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, wakil UMNO, Lokman Adam dan juga seorang wakil Jabatan Kastam.
SRC UIA adalah hasil mandat seluruh mahasiswa/wi kampus. Mahasiswa berhak untuk mengadakan forum ilmiah untuk pertukaran idea dan pandangan.
Ini bukan kali pertama ahli politik Pakatan Rakyat dilarang daripada memasuki varsiti tempatan. Pihak pentadbiran kampus tidak harus menyekat hak mahasiswa untuk menjemput penceramah. Mahasiswa adalah pewaris negara dan mampu menilai kesahihan ucapan penceramah.
Pihak UIA perlu meminta maaf atas tindakannya yang menghalang forum GST serta aksi pihak keselamatan UIA yang merampas mikrofon Rafizi Ramli ketika beliau sedang berucap. Tindakan sebegini adalah tidak bertamadun dan patut dikutuk sekeras-kerasnya.
Semua badan mahasiswa wajar diamanahkan untuk mengadakan aktiviti secara bebas selaras dengan semangat otonomi kampus dan kebebasan akademik. Hanya dengan budaya ilmiah ini barulah varsiti tempatan akan dipandang sama tinggi dengan universiti terulung luar negara.