Skip to content

DAPSY menegaskan segala kenyataan media Mahasiswa Roket adalah tidak mewakili pendirian rasmi DAPSY mahupun DAP

DAPSY menghormati institusi Raja Berperlembagaan namun menasihati Mahasiswa Roket agar fokuskan usaha mansuhkan AUKU & menunjukkan solidariti bersama pertubuhan mahasiswa yang dizalimi rejim pentadbiran dan bukannya sibuk mengampu.

DAPSY berpendirian untuk bersolidariti bersama semua pertubuhan mahasiswa yang ditekan oleh pihak universiti apabila pimpinan mahasiswa hanya melaksanakan hak perlembagaan untuk berekspresi & bersuara dan berdiskusi dari segi akademik.

DAPSY turut berasa hairan terhadap Mahasiswa Roket yang tidak mengecam pihak UM yang ingin mengambil tindakan terhadap mahasiswa sebaliknya pula senada dengan UMNO dalam menyebarkan retorik bahawa terdapatnya pertubuhan mahasiswa yang tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan. Sebagai entiti yang menamakan diri sendiri sebagai Mahasiswa Roket yang kononnya mewakili mahasiswa tetapi pula tidak bersolidariti & mempertahankan mahasiswa yang dizalimi dan tindakan ini adalah amat memalukan.

Melalui kenyataan media pada 1 November 2020, DAPSY telah berpendirian untuk mempertahankan hak & kebebasan UMANY mahupun pertubuhan mahasiswa lain dalam menyuarakan pandangan. DAPSY turut berpandangan UMANY tiada sebarang niat untuk menghina institusi Raja Berperlembagaan dan semangat UMANY yang lantang bersuara dalam perjuangan turut bersamaan dengan nilai teras DAP & DAPSY yakni bersuara tanpa gentar dan bersolidariti dengan yang dizalimi.

DAPSY sekali lagi menegaskan bahawa Mahasiswa Roket tidak sesekalipun bernaung di bawah DAP mahupun DAPSY dan maka tentulah NGO sedemikian tidak memahami perjuangan DAP selama 54 tahun ini.