1. DAPSY mengecam keras Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh yang bermuka dua dan ibarat musuh dalam selimut atas tindakannya yang mengikuti naratif perkauman PAS dalam menentang Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar (RUU PSB) dan mengundang kepada perpecahan dalam masyarakat.
2. Akmal sebelum ini mengumumkan bahawa Pemuda UMNO tidak akan menyertai perhimpunan anjuran PAS untuk menentang RUU tersebut. Namun pada masa yang sama pula memberi amaran bahawa Ketua Pemuda UMNO adalah bersedia bekerjasama dengan PAS untuk membantah akta tersebut sekiranya kerajaan tidak menerima cadangannya.
3. Akmal telah berulang kali berpakat dengan PAS untuk mengapi-apikan pelbagai isu sebelum ini, termasuk kontroversi Jalur Gemilang, isu sandwich, serta isu sekolah vernakular. Dalam semua isu ini, Akmal seiring dengan PAS dalam meniup api sentimen perkauman.
4. Lebih jelas lagi, tindakan Akmal yang berinteraksi dengan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri dalam media sosial sebagai “saudara seperjuangan” dan menyatakan kesediaan untuk bersama-sama menentang RUU Pembangunan Semula Bandar membuktikan bahawa dia sendirin dan Pemuda PAS berpakat untuk memainkan sandiwara politik demi meraih modal politik murahan.
5. Pendirian Akmal terhadap isu RUU PSB sebenarnya hanya menuruti naratif PAS yang mengeksploitasi isu perkauman, sengaja menimbulkan rasa takut dan kebencian, malah mengisyaratkan seolah-olah kerajaan mempunyai agenda tersembunyi untuk “mengancam hak perumahan kaum Melayu”.
6. Akmal kononnya menyeru untuk menyertai rundingan meja bulat, tetapi pada masa sama dalam media sosial pula membandingkan kes Kampung Sungai Baru dengan penangguhan perobohan Jinjang Selatan Tambahan secara jahat, tanpa mengambil kira perbezaan nyata dari segi proses undang-undang dan garis masa tetapi hanya berhasrat menimbulkan prasangka buruk dalam masyarakat.
7. Sebagai seorang pemimpin muda, Akmal sepatutnya menunjukkan politik yang matang, rasional dan konstruktif namun masih memilih untuk menumpang sentimen sempit PAS dan menjadikan dasar awam sebagai alat perpecahan kaum serta politik ketakutan.
8. Sekiranya terdapat kelemahan dalam RUU PSB, adalah wajar diperbaiki melalui perbahasan di Parlimen dan dialog bersama rakyat, bukannya dijadikan alat politik oleh UMNO dan PAS untuk menimbulkan perpecahan.
9. DAPSY mendesak Akmal agar berhenti bermain politik bermuka dua dan segera menjelaskan pendirian sebenar – sama ada mahu memperjuangkan kepentingan rakyat dengan konstruktif, atau terus bersekongkol dengan PAS dan menjerumuskan Malaysia ke dalam kancah perpecahan yang lebih parah.