DAPSY Kebangsaan pada hari ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan dalam memindah keluar serta-merta Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Muhd Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob dari Suruhanjaya Pencegah Rasuh Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri. Penukaran ini dilakukan sejurus selepas Datuk Bahri membidas tindakan penggeledahan pejabat SPRM dan Datuk Rohaizad menerima kunjungan pemimpin pembangkang dan NGO pada pagi hari Khamis.
Tindakan kerajaan ini adalah suatu percubaan untuk mencacatkan segala yang boleh dicacatkan (to paralyze all that can be paralised) terhadap mereka yang terlibat dalam penyiasatan skandal 1MDB.
Mereka yang terlibat dalam penyiasatan langsung terhadap skandal 1MDB telahpun dicacatkan satu demi satu, bermula dengan
- Pemberhentian sebelum tamat tempoh jawatan Peguam Negara Abdul Ghani Patail,
- Pelantikan 4 orang ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen ke dalam kabinet, selanjutnya melumpuhkan fungsi jatankuasa tersebut, dan
- Penyiasatan terhadap pegawai-pegawai SPRM yang sedang meneliti kes 1MDB
Perkara-perkara seperti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. Malah, isu pemecatan Tun Salleh Abbas selaku Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan semasa krisis perlembagaan yang berlaku akibat daripada krisis dalaman UMNO pada tahun 1987 pun tidak boleh dibandingkan keseriusannya dengan keadaan yang kita hadapi sekarang, yang mana badan-badan penyiasatan 1MDB telah dilumpuhkan sepenuhnya di bawah pimpinan Dato Sri Najib Tun Razak.
Dengan apa yang berlaku sekarang, isu 1MDB yang pada awalnya merupakan satu isu dalaman negara telahpun menjadi satu topik yang mana memalukan nama negara kita di peringkat antarabangsa. Pemecatan Timbalan Perdana Menteri dan Peguam Negara serta isu-isu berkenaan telah menjadi satu topik yang hangat dibincangkan oleh penganalisa politik antarabangsa.
Adakah kita masih mempunyai pimpinan politik dalam kerajaan yang masih mahu berdiam diri dengan tindakan-tindakan gila ini hanya demi untuk melindungi dalang sebenar isu 1MDB?
Tepuk dada tanya selera, jangan bersekongkol dengan mereka yang terang lagi bersuluh bersalah.
Datuk Bahri dan Datuk Rohaizad mempunyai sokongan daripada rakyat yang mahukan kebenaran. Mereka juga disarankan supaya terus bersuara demi rakyat dan jangan berhenti menyuarakan kebenaran kerana langkah penukaran ini.