Skip to content

DAPSY menggesa kerajaan Malaysia untuk menambah baik layanan terhadap golongan pelarian di Malaysia

Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di dalam The Star bertarikh 15 Mei 2015 mengejutkan apabila beliau mengatakan kumpulan pelarian dari Myanmar dan Bangladesh sebagai pendatang tanpa izin dan Malaysia harus berhenti dari menjadi “hos” kepada mereka ini.

Timbalan Menteri sepatutnya lebih peka dalam isu kemanusiaan. Kumpulan pelarian ini amat terdesak dan memerlukan bantuan kemanusiaan oleh kerana pergolakan yang berlaku di negara mereka. Sekiranya tiada pergolakan yang begitu dahsyat, perkara ini tidak akan berlaku. Mereka datang ke Malaysia dan negara-negara jiran yang terlibat kerana mencari tempat perlindungan dan melarikan diri dari situasi penyeksaan, penindasan dan ancaman maut. Setakat ini, sebanyak sepuluh nyawa telah terkorban dan laporan New York Times hari ini menyatakan 6,000-20,000 pelarian berada di laut ketika ini. Adakah kita tidak berperikemanusiaan dan membiarkan sahaja mereka terseksa tanpa bekalan air minuman dan makanan di perairan negara kita?

Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu berkaitan dengan Status Pelarian. Walaubagaimana pun Malaysia telah menandatangani dan masih mempunyai tanggungjawab untuk tidak menolak pelarian mencari tempat perlindungan kerana ia terkandung di dalam Artikel 14, Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights) dan melindungi wanita dan kanak-kanak seperti terkandung di dalam Konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Child)

Penyelesaian jangka pendek

DAPSY menggesa supaya kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif untuk menyelamatkan nyawa mangsa-mangsa pelarian ini dengan mengutamakan semangat kemanusiaan. Kerajaan Malaysia sepatutnya tegas dalam menangani isu ini dan menunjukkan contoh yang baik dengan memulakan misi mencari dan menyelamat dan bukannya menolak dan meninggalkan golongan yang sangat memerlukan. Kerajaan Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain harus bertindak pantas sebelum lebih banyak lagi nyawa terkorban kerana keadaan tenat yang melanda kumpulan pelarian ini.

DAPSY mencadangkan bantuan kemanusiaan dari segi air minuman, makanan dan perubatan terutamanya kepada kanak-kanak dan wanita diberikan dengan segera. DAPSY juga percaya ramai rakyat Malaysia ingin terlibat menyumbang kepada misi kemanusiaan ini.

Sebagai Pengerusi ASEAN

Selain itu, Malaysia harus mendesak ASEAN untuk mengadakan mesyuarat tergempar untuk membantu golongan yang diusir dari tanah air mereka sendiri. Ini adalah krisis kemanusiaan yang begitu hampir dengan Malaysia dan melibatkan ahli ASEAN sendiri. Tambahan dengan itu, kerajaan Malaysia bersama negara-negara ASEAN yang lain untuk membuat kata putus dengan menggesa Myanmar untuk bertanggungjawab dan menghentikan krisis etnik di negara itu atau kenakan sekatan ekonomi kerana mereka jelas telah melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia. Tan Sri Shafee Abdullah yang diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN Intergovermental Community on Human Rights (AICHR) perlu memulakan initiatif berkesan dalam menangani isu ini dan komited seperti komitmen beliau ketika mengadakan ‘roadshow’ berkenaan kes Dato Seri Anwar Ibrahim tidak lama dulu.

DAPSY menggesa negara-negara ASEAN tidak boleh berdiam diri lagi dan harus mendokong prinsip hak asasi manusia dan lakukan sesuatu, bukannya sebagai gabungan perhiasan.

Kementerian Dalam Negeri sepatutnya mempertingkatkan usaha dalam menangani isu pelarian sedia ada di Malaysia.

Laporan Amnesty International pada tahun 2010 menunjukkan anggaran bilangan pelarian dalam 90,000 orang masih lagi tertindas di negara Malaysia. Bukan sahaja mereka sering kali di salah tangkap oleh pihak berkuasa dan dianggap sebagai pendatang tanpa izin walaupun telah menunjukkan dokumentasi pelarian sah yang dikeluarkan UN. Pelarian sentiasa dilanda perasaan ketakutan walaupun sepatutnya dilindungi di bawah status ‘pelarian’ UNHCR kerana Malaysia tidak mengiktiraf status mereka sebagai pelarian tetapi sebaliknya sebagai pendatang tanpa dokumen dan tertakluk dengan Akta Imigresen. Pihak berkuasa harus bekerjasama bersama dengan UNHCR dan mendaftar mereka di bawah status pelarian dan menghormati status tersebut.

DAPSY menggesa kerajaan Malaysia untuk menambah baik layanan terhadap golongan pelarian di Malaysia supaya pergerakan mereka terkawal, hak asasi manusia dihormati dan membanteras penindasan terhadap golongan tidak bernasib baik ini.