Skip to content

DAPSY menyambut baik inisiatif PTPTN untuk melaksanakan Konsultasi Rakyat berkenaan skim bayaran balik pinjaman PTPTN

DAPSY menyambut baik inisiatif PTPTN untuk melaksanakan Konsultasi Rakyat berkenaan skim bayaran balik pinjaman PTPTN namun agensi PTPTN diingatkan agar tidak membelakangi manifesto Pakatan Harapan.

Dalam manifesto tersebut, Pakatan Harapan telah menjanjikan bahawa akan menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang gajinya kurang daripada RM4,000.00 selain berjanji akan memansuhkan dasar senarai hitam terhadap peminjam.

“Berlainan dengan rejim Barisan Nasional yang tidak pernah mendengari suara rakyat, sesungguhnya Konsultasi Rakyat oleh pihak PTPTN merupakan prakarsa baik dalam sesebuah negara demokrasi lantaran semua rakyat khususnya pihak berkepentingan berpeluang untuk memberikan pandangan dalam pelaksanaan dasar negara yang mendatangkan impak kepada golongan anak muda,” ujar Woo Kah Leong.

Woo yang turut merupakan Setiausaha Sulit kepada Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat mengingatkan pimpinan Pakatan Harapan agar tidak melaksanakan dasar PTPTN yang membelakangi manifesto Pakatan Harapan seperti tindakan menyenarai hitamkan peminjam lantaran sememangnya terdapatnya banyak peminjam yang betul-betul tidak berkemampuan untuk menampung kehidupan seharian mereka dengan gaji yang sedia ada, apatah lagi dengan membayar balik pinjaman PTPTN beratus-ratus ringgit sebulan.

Sekali lagi Woo menyeru golongan anak muda untuk menyertai Konsultasi Rakyat oleh PTPTN supaya pihak PTPTN boleh mengambil kira pandangan semua pihak dalam isu tersebut dan sehubungan dengan itu dapat melaksanakan dasar yang akan memanfaatkan semua pihak.