DAPSY menyokong penuh keputusan Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP untuk menggunakan lambang bersama Pakatan Harapan dan tidak menggunakan lambang Roket dalam PRU14.
DAPSY percaya bahawa keputusan ini telah membawa suatu kejutan kepada Barisan Nasional (BN) yang jelas sudah tidak boleh mencapai hasratnya dengan memperalatkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam melengah-lengahkan pendaftaran Pakatan Harapan.
Keputusan ini walaupun bukan satu keputusan yang mudah bagi DAP, tetapi adalah perlu dan tepat pada masanya untuk memenuhi harapan Rakyat Malaysia dalam mewujudkan satu gelombang perubahan yang dinanti-nantikan dalam PRU yang akan datang dan mengubah sejarah negara kita dengan satu Kerajaan yang baharu.
Pakatan Harapan telah memasukkan permohonan pendaftaran kepada ROS sejak bulan Julai yang lepas, dan peristiwa-peristiwa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa ROS tidak ada hasrat untuk memberikan kelulusan. Barisan Nasional akan menjadi penerima manfaat yang paling utama sekiranya keempat-empat komponen parti dalam Pakatan Harapan tidak dapat menunjukkan semangat kesepakatan pada tahap maxima.
Pakatan Harapan telah mengumumkan barisan pimpinan Majlis Presiden Pakatn Harapan pada bulan Julai tahun lepas, disusuli dengan pengumuman calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bersama pada bulan Januari dan Manifesto bersama pada bulan Mac tahun ini. Keputusan Pakatan Harapan untuk menggunakan lambang bersama untuk kesemua calon PH dalam PRU14 merupakan puzzle terakhir untuk memenangkan PRU yang akan datang.
Pada hari ini juga, iaitu hanya sehari sebelum Parlimen dijangka bubar, pihak ROS telah mengumumkan untuk membubarkan PPBM. Kita hanya boleh mendapat satu kesimpulan dari peristiwa ini, iaitu BN sudah mula menunjukkan ketakutan dan kebimbangannya.
DAPSY dengan ini menyeru keseluruhan penyokong-penyokong DAP untuk membantu dalam kempen PRU14 dan mempromosikan lambang bersama Pakatan Harapan yang akan diumumkan oleh Tun Dr Mahathir pada hari esok, demi untuk membantu pengundi-pengundi memahami keperluan untuk satu lambang bersama PH dalam menewaskan BN-UMNO dalam PRU14.