Skip to content

DAPSY: Merit Akademik dan Penguasaan BM yang Tinggi Bukti UEC Wajar Diiktiraf

1. Merujuk kepada kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 16 Disember 2025, DAPSY Kebangsaan ingin menjelaskan bahawa Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) merupakan satu kelayakan akademik yang telah lama diiktiraf oleh universiti-universiti terkemuka di seluruh dunia dan wajar dinilai berdasarkan merit akademiknya dan aspirasi sistem pendidikan, bukannya disempitkan melalui lensa politik atau sentimen yang tidak berasas.

2. Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi juga secara jelas menjamin penggunaan dan perkembangan bahasa ibunda masing-masing, sekali gus menjadi asas perundangan kepada kewujudan serta perkembangan sistem pendidikan pelbagai aliran. Dalam konteks ini, selain daripada kewujudan sekolah vernakular seperti SJKC dan SJKT, Sekolah Persendirian Cina juga ditubuhkan sekain lama dan telah beroperasi secara sah sejak selepas kemerdekaan dan selari dengan semangat Perlembagaan.

3. Pada masa yang sama, Dong Zong selaku badan yang mengendalikan UEC telah menegaskan bahawa Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran wajib dalam kurikulum UEC, dan pihaknya turut menyambut baik cadangan agar pelajar UEC memperoleh kredit dalam peperiksaan Bahasa Melayu SPM sebagai sebahagian daripada kerangka pengiktirafan.

4. Sehubungan dengan itu, menurut Dong Zong, kadar kelulusan pelajar Sekolah Persendirian Cina dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SPM dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah melepasi 96 peratus, selain usaha berterusan termasuk penubuhan pasukan khas bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia untuk memperkukuh penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar Sekolah Persendirian Cina.

5. Dari sudut dasar pendidikan pula, Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada asasnya terpakai kepada sekolah-sekolah kerajaan. Dalam konteks UEC pula, pengiktirafan UEC sebenarnya tidak bermaksud menjadikan Sekolah Persendirian Cina sebagai sekolah kerajaan, sebaliknya untuk mengiktiraf UEC sebagai kelayakan akademik yang sememangnya mempunyai kredibiliti antarabangsa dan dilihat setaraf dengan STPM, A-Level, serta kelayakan antarabangsa lain.

6. Dengan kata lain, tujuan pengiktirafan UEC merupakan pengiktirafan akademik yang membolehkan lepasan UEC memohon kemasukan ke universiti awam, agar mereka terutamanya yang cemerlang boleh memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam universiti tempatan, mencungkil bakat, dan seterusnya menyumbang khidmat kepada negara.

7. Tidak dapat dinafikan bahawa merit akademik UEC telah diterima secara meluas, dan lepasan UEC dialu-alukan oleh ratusan universiti di peringkat global, termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand, China, Jepun dan Singapura. Oleh itu, kelayakan akademik UEC sememangnya terbukti dan mampu memenuhi keperluan akademik semasa serta aspirasi pendidikan negara, demi melahirkan generasi muda yang kompeten dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

8. Sudah terang lagi bersuluh bahawa stereotaip sesetengah pihak terhadap UEC sebenarnya hanya berpaksikan lensa politik sempit atau sentimen perkauman yang tidak berasas. Pengiktirafan UEC boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Perpaduan untuk membina sistem pendidikan tinggi yang lebih progresif, inklusif, holistik, dan berdaya saing demi menjana pembangunan negara.

9. Kesemua fakta ini membuktikan bahawa pengiktirafan UEC boleh dilaksanakan secara pragmatik, berasaskan fakta dan merit akademik, demi memastikan bahawa lebih ramai belia yang cemerlang dan berketerampilan dapat terus kekal dan berkhidmat demi pembangunan masyarakat dan kemajuan negara.