1. DAPSY memandang serius tindakan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) yang mengarahkan sebuah klinik pergigian untuk ditutup 30 hari ekoran insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik. Sesungguhnya arahan penutupan 30 hari adalah keterlaluan dan hukuman tersebut adalah tidak setimpal dengan kesalahan.
2. DAPSY menegaskan bahawa semua premis perniagaan wajar mengambil iktibar dan mengelakkan kesilapan seperti mengibarkan bendera secara terbalik daripada terus berlaku kerana adalah kewajipan setiap warganegara untuk menghormati Jalur Gemilang.
3. Namun begitu, tindakan MPPn yang melampaui kuasa dengan mengarahkan klinik untuk ditutup selama 30 hari telah menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tatakelola kerajaan tempatan. Oleh itu, DAPSY menggesa Kerajaan Negeri Johor segera mengarahkan MPPn untuk menarik balik arahan tersebut.
4. Tindakan memasang bendera secara tidak betul adalah salah dan memang tidak dapat dinafikan wujudnya kecuaian dalam pada itu, namun hukuman untuk menutup operasi selama sebulan adalah tidak wajar. Sepanjang tempoh tersebut, pesakit yang telah membuat janji temu, termasuk kesemua yang telah mengaturkan untuk pembedahan dan sebagainya terpaksa ditangguhkan tarikhnya atau mencari doktor lain. Segala keputusan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) sewajarnya mempertimbangkan impak atau kesan kepada orang awam, bukannya menghukum secara membuta tuli seperti polis moral.
5. Keputusan menutup premis tanpa pertimbangan budi bicara yang munasabah adalah bertentangan dengan prinsip “proportionality”dalam penghukuman. Penguatkuasaan PBT perlu berfakta, berasas, mengikut konteks dan mengambil kira keadaan sebenar, bukan “one-size-fits-all”. Penguatkuasaan PBT tidak harus membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
6. Lebih membimbangkan lagi adalah amalan dwi-piawaian dalam isu bendera yakni apabila kesilapan serupa melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia, PAS Terengganu dan Pemuda UMNO Terengganu, kesemua entiti tersebut tidak diambil tindakan berat, tetapi peniaga kecil pula dihukum berat ataupun diaibkan oleh golongan ekstremis. Amalan sedemikian telah mewujudkan persepsi buruk dan semakin menghakis kepercayaan awam serta meningkatkan ketidakpuashatian rakyat.
7. Pendekatan melalui paksaan hanya akan menghasilkan kepatuhan palsu dan penolakan rakyat terhadap perihal yang serius. PBT tidak sepatutnya menambahkan keresahan masyarakat dalam isu bendera.
8. PBT tidak wajar menyalahgunakan kuasa dalam isu bendera. Patriotisme harus dibina melalui pendidikan dan dorongan, bukan melalui ugutan atau hukuman keras.