Skip to content

DAPSY Sambut Baik Keputusan Kerajaan Perpaduan Untuk Tidak Merayu Terhadap Keputusan Mahkamah Berkaitan Tuntutan Hak 40% Hasil Sabah Demi Merealisasikan Autonomi Sabah

1. DAPSY Kebangsaan mengalu-alukan keputusan kerajaan perpaduan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan hak 40% hasil Sabah.

2. DAPSY menegaskan bahawa keputusan ini merupakan satu langkah penting yang melambangkan iltizam politik dan keikhlasan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan PMX untuk menzahirkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta komitmen terhadap usaha untuk memulihkan autonomi Sabah.

3. Keputusan ini menandakan satu anjakan paradigma dalam budaya politik yang dimulakan oleh kerajaan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) lantaran kerajaan persekutuan kini telah menyatakan dengan jelas bahawa proses rundingan akan dimulakan dengan kerajaan negeri Sabah baharu selepas PRN Sabah.

4. Berbeza dengan modus operandi rejim kerajaan sebelum ini, kerajaan kini yang diterajui oleh PH memilih pendekatan kerjasama, dan bukannya konfrontasi, dengan berpandukan prinsip federalisme yang sebenar. Diharapkan pengumuman yang bersejarah ini akan memperkukuh hubungan antara kerajaan persekutuan dengan negeri serta memacu kemajuan bersama dalam pengagihan sumber, perancangan pembangunan dan tadbir urus.

5. DAPSY turut menegaskan bahawa keputusan ini adalah tepat pada masanya dan amat signifikan kerana telah membuka lembaran politik baharu antara hubungan kerajaan persekutuan dengan Sabah, serta menjadi teladan penting bagi menyerlahkan semangat persekutuan.

6. PRN Sabah yang bakal berlangsung akan menjadi platform penting dalam menentukan perubahan hala tuju yang signifikan. DAPSY menyeru seluruh rakyat Sabah untuk menggunakan kuasa mengundi masing-masing demi menolak politik perkauman & ekstrem, serta menolak mana-mana ahli politik yang terus memainkan sentimen parti tempatan yang sesungguhnya hanya berniat untuk merebut kuasa.

7. Sekiranya PH diberikan mandat untuk bersama-sama menerajui kerajaan negeri Sabah, nescaya rundingan bagi memulihkan autonomi negeri akan terus berjalan dengan lancar, manakala semangat reformasi yang ditunjukkan kerajaan persekutuan kini dapat direalisasikan di Sabah secara keseluruhan.

8. Prestasi kerajaan kini yang dipimpin PMX telah membuktikan bahawa selagi Pakatan Harapan diberikan mandat & ruang untuk memimpin, seluruh negara khususnya Sabah adalah mampu melangkah ke arah kestabilan, kemajuan, dan reformasi yang progresif demi kesejahteraan rakyat.