1. DAPSY Kebangsaan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 bahawa kerajaan akan menambah 1,500 unjuran tempat bagi ijazah sarjana muda dalam 10 bidang pengajian di lima universiti penyelidikan negara, antaranya undang-undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, serta kecerdasan buatan (AI).
2. Penambahan tempat di universiti penyelidikan ini bukan sahaja membuka ruang kepada lebih ramai anak muda cemerlang termasuk lulusan STPM untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berimpak tinggi, malah mencerminkan komitmen kerajaan terhadap prinsip meritokrasi, keadilan pendidikan, dan mobiliti sosial, sekaligus mengurangkan keberangkalian pelajar cemerlang tidak memperoleh kursus atau universiti pilihan mereka.
3. DAPSY juga menyambut baik keputusan Kerajaan Madani yang menawarkan pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 5,800 pelajar dari keluarga miskin untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA). Langkah ini membuktikan komitmen kerajaan untuk mengurangkan jurang sosial dan memastikan bahawa para pelajar yang miskin tidak lagi dibelenggu oleh masalah kewangan dan boleh meneruskan impian ke menara gading demi mengubah nasib keluarga.
4. Pada masa yang sama, DAPSY menegaskan bahawa penambahbaikan akses pendidikan tinggi memerlukan reformasi menyeluruh terhadap sistem pra-universiti dan pengambilan pelajar universiti awam. Untuk itu, DAPSY mencadangkan pelan reformasi pendidikan tinggi jangka pendek, sederhana, dan panjang, demi menuju ke arah pembinaan sistem pendidikan tinggi yang lebih kompetitif, adil, dan holistik.
5. Sebagai reformasi jangka pendek, DAPSY menyeru agar semua pelajar STPM yang memperoleh PNGK 4.0, tanpa mengira aliran sains atau sains sosial, diberikan tawaran automatik ke universiti awam dan program pilihan pertama mereka. Langkah ini adalah simbol pengiktirafan yang amat bermakna terhadap kecemerlangan akademik dan memastikan tiada pelajar paling cemerlang diabaikan lantaran kekangan teknikal atau sistem pengambilan pelajar yang dilihat sebagai tidak konsisten.
6. Sebagai reformasi jangka sederhana, DAPSY menekankan keperluan meningkatkan ketelusan dalam sistem pra-universiti, termasuk membuka akses data prestasi dan kemasukan kepada umum bagi tujuan analisis, perbincangan, penyelidikan, dan reformasi. Selain itu, DAPSY menggesa agar penyelarasan tempoh pengajian STPM serta penstrukturan semula pentaksiran markah kokurikulum dilaksanakan supaya sistem STPM setara dengan sistem Matrikulasi.
7. Untuk reformasi jangka panjang, DAPSY menyeru KPT untuk membuat kajian menyeluruh dalam usaha menyatukan sistem pra-universiti, terutamanya antara sistem STPM dan Matrikulasi, berdasarkan merit, keadilan sosial dan keperluan (need-based). Matlamat jangka panjang ini adalah untuk memastikan semua pelajar pra-universiti mempunyai titik permulaan yang sama dalam menuntut ilmu, dan tiada sesiapa ditinggalkan akibat ketidakadilan sistem.
8. DAPSY menegaskan bahawa masa depan dan pembangunan negara memerlukan iltizam politik untuk melaksanakan reformasi dan perubahan, termasuk reformasi struktur pendidikan tinggi yang berpaksikan prinsip merit, keadilan, keterangkuman dan keperluan sosial, demi membina sebuah sistem pendidikan tinggi yang kompetitif, inklusif, serta mampu melahirkan graduan yang berketerampilan dan berdaya saing di pentas dunia.