Skip to content

DAPSY Sambut Baik Reformasi Pelantikan Hakim oleh Perdana Menteri, Junjung Kedaulatan Undang-undang

DAPSY menyambut baik komitmen Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam melaksanakan reformasi terhadap proses pelantikan hakim negara. Langkah ini adalah manifestasi jelas terhadap usaha menegakkan prinsip kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

Kami percaya reformasi ini akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman, di mana hakim bebas daripada sebarang campur tangan pihak eksekutif dan legislatif, serta bebas membuat keputusan berdasarkan undang-undang tanpa tekanan politik atau luar.

Usaha ini juga penting dalam mengikis persepsi negatif berkenaan pengaruh politik ke atas badan kehakiman, sekali gus membantu memulihkan semula imej institusi kehakiman yang tercalar. Dengan kebebasan kehakiman yang terjamin, pelabur luar dan dalam negeri akan lebih yakin terhadap sistem perundangan negara, yang akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Kita tidak boleh melupakan krisis kehakiman 1988 — satu titik hitam dalam sejarah negara — apabila Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, dipecat dan lima hakim Mahkamah Agung digantung selepas beberapa keputusan yang dianggap tidak memihak kepada kerajaan ketika itu.

Peristiwa ini telah meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman dan mencetuskan kebimbangan besar terhadap campur tangan politik dalam urusan kehakiman.

Kini, di bawah kepimpinan seorang reformis, kita diberi peluang untuk memperbetulkan kesilapan masa lalu dan melangkah ke arah sistem yang lebih adil, telus dan bebas.

Kami juga ingin menyeru Kerajaan Perpaduan dan PMX selain daripada melaksanakan reformasi sistem pelantikan hakim, harus juga mempercepatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan pengasingan kuasa Peguam Negara. Langkah-langkah ini merupakan penanda aras di mana Kerajaan komited dalam melaksanakan reformasi institusi dalam penggal ini.

Beberapa reformasi institusi penting telah pun dilaksanakan, termasuk penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara, pindaan Akta Perhimpunan Aman, dan komitmen untuk memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.

Semua ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani serius dalam melaksanakan reformasi institusi dan perundangan secara menyeluruh.

DAPSY berharap usaha reformasi ini akan diteruskan demi memastikan kedaulatan undang-undang terpelihara, dan demi masa depan Malaysia yang lebih adil, progresif dan demokratik.