Skip to content

DAPSY Seru Iktiraf Pelajar Cemerlang STPM: Pelajar PNGK 4.0 Harus Diberikan Universiti & Kursus Pilihan Pertama Secara Automatik

1. Sebagai Ahli Dewan Negeri Pasir Bedamar, saya telah menyampaikan wang penghargaan sebanyak RM8,000 kepada 4 pelajar cemerlang STPM untuk menunjukkan keprihatinan Kerajaan Madani terhadap pelajar cemerlang STPM.

2. Di kawasan Teluk Intan, dalam kalangan 4 pelajar STPM tersebut yang memperoleh keputusan PNGK 4.0, tiga pelajar merupakan pelajar berbangsa Melayu. Hal ini jelas mengilustrasikan bahawa kecemerlangan pelajar STPM lahir daripada usaha gigih masing-masing, dan tidak berkaitan dengan faktor kaum.

3. Oleh itu, sebagai Ketua DAPSY Kebangsaan, saya menyeru Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melaksanakan reformasi pendidikan jangka pendek, iaitu memberikan kursus & universiti pilihan pertama kepada semua pelajar STPM yang memperoleh PNGK 4.0.

4. Langkah tersebut adalah bentuk pengiktirafan terhadap usaha gigih para pelajar STPM, dan mencerminkan prinsip keadilan serta meritokrasi yang harus menjadi tunjang kepada sistem pendidikan tinggi negara.

5. Dalam sistem pra-universiti yang sedia ada, Matrikulasi mempunyai kelebihan yang jauh lebih besar daripada STPM, sehingga menyebabkan ramai pelajar cemerlang STPM tidak mengira kaum gagal untuk memperoleh pilihan IPTA dan kursus utama mereka.

6. Ketidakseimbangan sistem pra-universiti yang menjejaskan semangat, motivasi dan masa depan pelajar STPM tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada pelajar cemerlang STPM untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan terkemuka seperti Universiti Malaya dan sebagainya.

7. Selama ini, DAPSY menegaskan bahawa reformasi pendidikan bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti dan daya saing, tetapi juga membantu pelajar untuk mengubah kehidupan keluarga masing-masing.

8. Berdasarkan statistik oleh KPT dalam Parlimen pada November 2024, dalam kalangan 42,217 orang pelajar Bumiputera yang memasuki universiti melalui pelbagai saluran bagi tahun 2024/2025, 22,449 orang pelajar Bumiputera (53.2%) sesungguhnya adalah memasuki varsiti melalui peperiksaan STPM.

9. DAPSY berpendirian bahawa KPT di bawah zaman Malaysia Madani perlu berlainan dengan zaman-zaman sebelum ini dan harus mengambil langkah reformasi berpandukan prinsip keadilan yang paling asas sekali bagi membina sistem pendidikan tinggi yang telus dan adil, menyemarakkan meritokrasi dan menunjukkan semangat kerajaan untuk menghargai pelajar cemerlang.

10. Sebagaimana kerajaan menjamin pelajar SPM yang memperoleh 10A diberikan kemasukan automatik ke Matrikulasi, pendekatan yang sama harus diperluaskan kepada pelajar STPM sebagai langkah reformasi yang saksama.

11. DAPSY menegaskan bahawa sistem pendidikan negara mesti berlandaskan pencapaian (merit), keadilan sosial, dan keperluan (need-based). Kemasukan ke universiti awam harus dilakukan secara adil, telus dan berdasarkan prestasi akademik pelajar agar pelajar cemerlang boleh mendapat peluang pendidikan yang saksama.

12. Untuk reformasi jangka masa panjang, DAPSY menyeru KPT untuk membuat kajian menyeluruh dalam usaha menyatukan sistem pra-universiti, terutamanya antara STPM dan Matrikulasi, agar semua pelajar pra-universiti mempunyai permulaan yang sama dalam menuntut ilmu dan tiada sesiapa yang ditinggalkan lantaran ketidakadilan sistem.

13. Malaysia tidak boleh lagi membiarkan pelajar cemerlang STPM diabaikan, semua pihak berkepentingan sewajarnya meningkatkan usaha reformasi dalam pelbagai bentuk demi kemaslahatan dan kelestarian sistem pendidikan negara kita.