Skip to content

DAPSY Seru Selesaikan Isu Bendera Melalui Undang-undang, Bukan Keadilan Samseng (Mob Justice)

1. DAPSY Kebangsaan mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh yang menggesa orang ramai untuk “mengunjungi” premis perniagaan yang berlokasi di Kepala Batas berhubung isu Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik. Tindakan ini bukan sahaja memberi gambaran bahawa Dr Akmal Saleh mahu bertindak seperti pihak berkuasa, malah merupakan pendekatan yang tidak menjunjung kedaulatan undang-undang.

2. DAPSY Kebangsaan menyelar sikap hipokrit dan dwi-piawaian yang ditunjukkan Dr Akmal Saleh dalam isu Jalur Gemilang, adakah Exco Melaka tersebut pernah memobilisasi orang ramai untuk “mengunjungi” Kementerian Pendidikan Malaysia dan Ibu Pejabat PAS Terengganu yang juga pernah membuat kesilapan sedemikian? Jawapannya adalah negatif dan ini jelas menunjukkan betapa hipokritnya Ketua Pemuda UMNO kini.

3. Malaysia adalah sebuah negara berperlembagaan yang berasaskan kedaulatan undang-undang. Sebarang tindakan yang melanggar undang-undang atau peraturan, termasuk kesilapan dalam pemasangan Jalur Gemilang, memang wajar ditangani mengikut prosedur dan peraturan sedia ada, bukan melalui tindakan yang berunsur intimidasi atau ‘mob justice’. Kesedaran patriotik tidak boleh dipupuk melalui ugutan, tetapi melalui pendidikan yang konsisten.

4. DAPSY menegaskan bahawa pelanggar undang-undang harus diambil tindakan melalui cara yang selari dengan lunas undang-undang. Namun tindakan membesarkan isu dan memobilisasi orang ramai untuk “memberikan pengajaran” hanyalah gimik politik yang tidak membawa manfaat kepada perpaduan negara. Seorang wakil rakyat sepatutnya berperanan untuk menyatukan rakyat, bukannya menimbulkan ketegangan.

5. DAPSY berpegang bahawa kesilapan memasang bendera adalah sesuatu tindakan yang harus dihukum mengikut undang-undang. Apa yang membahayakan masyarakat kini adalah sikap sesetengah ahli politik seperti Dr Akmal Saleh yang memilih untuk mempolitikkan isu sebegini demi kepentingan peribadi. Negara kita tidak memerlukan “moral police”, sebaliknya Malaysia memerlukan pemimpin yang mengutamakan keamanan, keharmonian dan integriti undang-undang.

6. DAPSY Kebangsaan menyeru semua pihak, khususnya Dr Akmal Saleh yang berkali-kali memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum, untuk menghentikan budaya politik konfrontasi yang hanya mencetuskan kebencian dan perpecahan. Negara kita akan lebih maju jika menggunakan kaedah dialog, pendidikan berterusan dan kerelaan untuk mematuhi undang-undang.