Skip to content

DAPSY Sokong PH Laksanakan Manifesto Pengiktirafan UEC Menepati Semangat Perlembagaan Persekutuan

1. Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan untuk meneruskan usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang ditawarkan oleh Sekolah Persendirian Cina. DAPSY menegaskan bahawa pengiktirafan UEC adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, dan Pakatan Harapan wajar berpegang teguh kepada komitmen asal dalam manifesto untuk mengiktiraf UEC.

2. Memandangkan bahawa persefahaman awal telah dicapai iaitu pengiktirafan UEC perlu dilaksanakan bersama dengan usaha untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa kebangsaan sebagai prasyarat utama, maka sesiapa pihak khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi serta mana-mana wakil rakyat kerajaan perpaduan sewajarnya menyuarakan pandangan berdasarkan fakta, bukannya menyebarkan maklumat yang tidak tepat dengan mengikut rentak pembangkang.

3. DAPSY dengan tegas menyokong pendirian Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP, YB Anthony Loke, bahawa pengiktirafan UEC adalah selari dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

4. DAPSY menegaskan bahawa Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, malah turut menjamin hak rakyat untuk menggunakan bahasa ibunda serta meletakkan asas kepada kewujudan dan perkembangan sistem pendidikan pelbagai aliran. Maka, ini turut menjadi asas perundangan yang membolehkan Sekolah Persendirian Cina beroperasi secara sah selepas mencapai kemerdekaan.

5. Walaupun Sekolah Persendirian Cina menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama, kurikulum Sekolah Persendirian Cina turut merangkumi subjek Bahasa Melayu. Malah, Dong Zong memandang secara positif tentang cadangan untuk menjadikan kewajipan memperoleh kelulusan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu SPM sebagai syarat tambahan bagi pengiktirafan UEC.

6. Cadangan ini jelas menunjukkan Dong Zong yang menguruskan Sekolah Persendirian Cina adalah menghormati kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Maka sebarang dakwaan bahawa pengiktirafan sijil UEC mencabar kedudukan Bahasa Melayu adalah tidak benar dan bersifat sensasi politik semata-mata.

7. Mengenai kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi bahawa pengiktirafan sijil UEC perlu selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, DAPSY menyeru pihak berkenaan untuk menjelaskan definisi sebenar tentang frasa ‘pengiktirafan sijil UEC’ dahulu.

8. DAPSY menjelaskan bahawa Falsafah Pendidikan Negara secara amnya terpakai kepada sekolah kerajaan, namun pengiktirafan sijil UEC tidak bermaksud untuk menjadikan Sekolah Persendirian Cina sebagai sekolah kerajaan. Sebaliknya, pengiktirafan sijil UEC merupakan usaha untuk mengiktiraf sijil tersebut sebagai kelayakan akademik yang mempunyai kredibiliti antarabangsa, sama seperti A-Level dan kelayakan akademik antarabangsa lain, bagi membolehkan lepasan sijil UEC untuk memohon kemasukan ke universiti awam.

9. Dengan kata lain, penerimaan sijil UEC merupakan pengiktirafan dan keseragaman akademik, bukan usaha untuk menukarkan status sekolah persendirian kepada sekolah kerajaan.

10. DAPSY menekankan bahawa tahap akademik yang cemerlang dan pengiktirafan antarabangsa sijil UEC adalah hakikat dan tidak boleh dipertikaikan. Selama ini, sijil UEC telah melahirkan ramai bakat cemerlang untuk negara, dan graduannya diterima oleh universiti terkemuka di seluruh dunia.

11. DAPSY menggesa semua pihak untuk menilai sijil UEC berdasarkan piawaian akademik, serta mengiktirafnya sebagai aset penting dalam sistem pendidikan pelbagai aliran negara.

12. Pengiktirafan sijil UEC merupakan pengiktirafan terhadap nilai akademiknya, dan pada masa yang sama akan membantu negara mengekalkan lebih ramai bakat tempatan yang berdaya saing demi pembangunan masyarakat dan negara.