Skip to content

DAPSY sokong protes aman kebebasan media oleh kumpulan GERAMM atas semangat setiakawan demi memastikan kebebasan media dihormati oleh kerajaan UMNO BN

Kami dari pimpinan Pemuda Sosialis DAP dengan ini menyatakan sokongan kepada kumpulan Gerakan Media Marah atau GERAMM yang akan menyatakan protes aman secara terbuka pada 4 Januari 2014 ini.

Sokongan ini selaras dengan prinsip semangat setiakawan yang menjadi asas demokrasi berparlimen dinegara-negara maju di dunia. Hak memprotes ini telah dijamin oleh perlembagaan negara yang mana, mana-mana kumpulan berhak untuk menyatakan bantahan sesuai menurut undang-undang yang telah diperuntukan.

Kami dengan tegas menolak campurtangan kerajaan menerusi agensi tertentu dengan niat mahu menyekat kebebasan media yang gigih melapor isu-isu yang melibatkan kepentingan awam.

Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merayu kepada pihak berkuasa yang berkaitan dengan isu penggantungan akhbar The Heat ini untuk menjalankan kewajipan mereka dengan rasional dan penuh professional tanpa membiarkan agensi mereka diperalat oleh pihak-pihak tertentu atas niat politik sempit.

Kita juga berharap, isu-isu yang melibatkan tahap keselamatan para wartawan ketika membuat liputan di mana-mana demonstrasi aman anjuran oleh mana-mana pihak, diberi perhatian sewajarnya oleh pidak berkuasa.

Kami memuji usaha GERAMM yang menjayakan protes secara matang dengan penganjuran forum terbuka dan kini protes terbuka yang aman dan penuh semangat muhibbah. Kami juga menyeru rakan-rakan media yang lain, baik dari media alternatif dan juga arus perdana untuk turut sama menyatakan sokongan kepada GERAMM atas matlamat yang murni.

Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada anggota-anggota keselamatan yang telah bekerja dan membantu menjayakan demonstrasi TURUN baru-baru ini. Dan, kami mengharapkan kerjasama yang berterusan dalam protes aman yang akan diadakan ini

Kerjasama ini adalah manifestasi Impian Malaysia.