Skip to content

Dari menteri sehinggalah ke pengarah-pengarah jabatan di Prasarana, sudah terang lagi bersuluh mereka ini tidak faham akan kesusahan masyarakat umum yang bergantung kepada pengangkutan awam

Dari menteri sehinggalah ke pengarah-pengarah jabatan di Prasarana, sudah terang lagi bersuluh mereka ini tidak faham akan kesusahan masyarakat umum yang bergantung kepada pengangkutan awam. Ini kerana mereka sendiri tidak menaiki pengangkutan awam untuk pergi dan pulang kerja!

Kalau dari awal mereka cakna dengan sistem pengangkutan awam, terutamanya LRT laluan Kelana Jaya yang banyak masalahnya, dari awal lagi pelan perancangan dan penambah-baikan kualiti dijalankan. Permasalahan di sini, mengikut sidang media pagi tadi, mereka masih lagi menyiasat punca berlakunya kejadian tersebut! Seharusnya perkara seperti ini disiap siaga dari awal dan bukan secara tiba-tiba! Sudahlah begitu, respons dari pihak berkuasa juga benar-benar lambat! Orang ramai sudah terkesan dari semalam!

LRT laluan Kelana Jaya ini adalah nadi pengangkutan yang paling utama bagi orang ramai di bandaraya Kuala Lumpur. Lumpuhnya sistem pengangkutan ini, maka lumpuhlah mobiliti orang ramai di sekitar Kuala Lumpur. Tambahan pula, kerosakan ini dilaporkan akan mengambil masa selama tujuh hari lamanya dan memberi kesan kepada laluan ini yang paling sibuk! Bayangkan betapa ramai orang yang tidak boleh meneruskan kehidupan harian mereka dek kerana isu ini.

Segala bentuk sumpah seranah telah diberikan oleh rakyat umum. Di parlimen juga, perkara seperti ini sering dibahaskan. Akan tetapi, pihak kerajaan sepertinya menutup sebelah mata, menekap telinga mengendahkan perkara-perkara yang berlaku. Menteri Pengangkutan Sementara, Wee Ka Siong juga sehingga saat ini, masih tiada apa-apa tindakan di atas kejadian yang berlaku mahupun kenyataan kemas kini.

Jikalau di negara-negara maju yang lain, sekiranya sistem pengangkutan mereka rosak untuk setengah hari, masyarakat umum sudah keluar membawa sepanduk di jalanan meminta untuk ditukar kerajaan mereka.