Hari ini genap setahun sejak kes COVID-19 pertama kali dilaporkan di Malaysia. Pada 24 Januari 2021, Malaysia telah mencatat sejumlah 183,801 kes, dengan 40,000 kes aktif, dan 678 kematian, dan jumlahnya masih meningkat. DAP mengucapkan takziah kepada 678 keluarga mangsa COVID-19.
Krisis kesihatan awam COVID-19 tidak patut dipolitikkan, seperti Menteri Kanan Azmin Ali membuat dakwaan tidak masuk akal bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menyelamatkan lebih banyak nyawa daripada Pakatan Harapan (PH). Faktanya ialah tidak ada satu pun kematian COVID-19 di bawah pentadbiran PH sebelum Kerajaan PH jatuh pada 25 Februari 2020.
Daripada menggantung Parlimen, kerajaan PN sepatutnya menyatukan rakyat untuk memerangi COVID-19 bersama-sama. Menggantung Parlimen tidak membantu negara menangani 4 krisis berganda iaitu krisis kesihatan awam, ekonomi, ketidakstabilan politik, pendidikan dan keadilan sosial.
Walaupun mencari keseimbangan antara menyelamatkan nyawa dan mata pencarian tidak mudah, kerajaan patut menggunakan segala sumber yang ada untuk membantu para pekerja barisan hadapan dengan tenaga kerja dan peralatan serta untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan. Pelaksanaan menyeluruh 3T – saringan, pengesanan dan rawatan semua kontak rapat pesakit positif COVID-19 harus dikembalikan. Malangnya, terdapat amalan dua darjat kerana penggubal SOP COVID-19 adalah mereka yang melanggarnya.
Kegagalan untuk melaksanakan pelanjutan moratorium pinjaman bank secara automatik (kecuali kumpulan Top 20), kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000 termasuk kepada penganggur, pengeluaran KWSP dan pembelajaran atas talian sehingga krisis COVID-19 tamat juga adalah kegagalan pengurusan krisis.
Contohnya industri pelancongan yang bergantung kepada sokongan hidup telah kehilangan pendapatan RM100 bilion tahun lalu. Namun, tidak ada bantuan berterusan dari kerajaan untuk menolong mereka bertahan. Bagaimana dengan pelepasan sewa atau subsidi untuk perniagaan kecil yang tidak mempunyai pendapatan atau hasil sepanjang tempoh ini?
Yang lebih membimbangkan adalah harga barang keperluan, terutama makanan dan minuman, juga meningkat bukan hanya bulan-ke-bulan (MOM) sebanyak 0.5% pada bulan Disember 2020 berbanding dengan November 2020 tetapi juga tahun-ke-tahun (YOY) sebanyak 1.4% pada tahun 2020 berbanding tahun 2019. Dengan kata lain, rakyat Malaysia membayar lebih tinggi berbanding tahun lepas atau bulan lalu. Ini akan menyebabkan penderitaan yang lebih besar kepada rakyat Malaysia yang menghadapi pengurangan pendapatan atau kehilangan pendapatan semasa kemelesetan ekonomi ini namun perlu membayar harga yang lebih tinggi.
Kita masih dapat menyelamatkan nyawa dan mata pencarian jika kita mematuhi protokol kesihatan dan SOP, memfokuskan sumber kepada pekerja barisan hadapan, rakyat dan perniagaan kecil. Penggantungan Parlimen akan menyekat usaha mengetengahkan masalah rakyat dan tidak membantu dalam mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah negara.