Isu samaada Darurat akan dilaksanakan telah menjadi satu-satu isu yang hangat diperbahaskan dalam 2 hari yang lepas. Rata-rata kita nampak selain daripada segelintir pemimpin dari PN, bantahan terhadap Darurat merupakan pandangan aliran utama dalam isu ini.
Walaupun tidak ada apa-apa pengumuman rasmi dari Kabinet berkenaan dengan cadangan pelaksaan Darurat, adalah jelas bahawa hasrat utama ahli-ahli politik PN adalah untuk memastikan supaya Belanjawan 2021 tidak perlu menghadapi proses perbahasan dan pengundian di peringkat Parlimen, dan tidak boleh ditewaskan dalam apa-apa jua keadaan pun. Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin bimbang Kerajaan PN akan jatuh sekiranya Belanjawan 2021 tidak dapat diluluskan.
TSMY jelas telah bertindak melampau (overdo) dalam situasi yang dihadapi sekarang.
Dengan satu kontinjen 109 orang Ahli Parlimen, bukan mustahil bagi blok Pembangkang untuk menewaskan mana-mana rang undang-undang atau usul yang dibentangkan. Walaupun bukan setiap kali rang undang-undang Kerajaan ditewaskan membawa kepada kejatuhan Kerajaan, tetapi ia adalah cukup untuk menunjukkan Kerajaan yang sedia ada tidak mempunyai sokongan yang mantap.
Sekiranya kita menyemak rekod, Ahli-Ahli Pembangkang Pakatan Harapan + telah menonjolkan kematangan politik yang tinggi dengan meletakkan kepentingan Rakyat di tempat yang pertama. Kita tidak membantah hanya untuk tujuan membantah, dan kita tidak pernah menafikan usaha Kerajaan yang bertujuan untuk membantu Rakyat.
Sepanjang pemerintahan Kerajaan PN, 10 Rang Undang-Undang telah dibentangkan untuk diluluskan oleh Parlimen. Antaranya, hanya satu Rang Undang-Undang sahaja yang telah diputuskan secara belah bahagi, iaitu RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 yang mana telah diluluskan dengan pengundian 111 melawan 106. 9 Rang Undang-Undang yang lain telah diluluskan tanpa pengundian belah bahagi.
9 RUU adalah seperti berikut:-
(i) RUU Perbekalan Tambahan (2019) 2020
(ii) RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020
(iii) RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020
(iii) RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020
(iv) RUU Insolvensi (Pindaan) 2020
(v) RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020
(vi) RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020
(vii) RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020
(viii) RUU Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020
(ix) RUU Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020
Sebab utama RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 ditolak oleh blok pembangkang adalah kerana kita tidak bersetuju dengan tindakan Muhyddin Yassin yang melantik suatu barisan cabinet yang terlampau besar hanya untuk mengukuhkan kedudukannya. Untuk RUU yang berkepentingan Rakyat, termasuk RUU perbelanjaan yang melibatkan perbelanjaan tambahan sebesar RM45 billion untuk Covid-19, telah diluluskan tanpa bantahan pengundian belah bahagi.
Rekod Handsard Parlimen adalah jelas. Untuk kebanyakan RUU yang dibentangkan, bukan sahaja blok Pembangkang tidak meminta untuk pengundian secara balah bahagi, tetapi dalam perbahasan telah menyatakan sokongan terhadap RUU-RUU tersebut, dengan pandangan dan cadangan untuk memperbaiki. Malah, dalam RUU yang berkenaan dengan Covid-19, ramai Ahli-Ahli blok pembangkang telah mengemukakan pandangan RUU sedemikian patut dibentangkan jauh lebih awal.
Jelas, kepentingan Rakyat adalah keutamaan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan +. Apa yang patut Muhyddin Yassin lakukan sekarang adalah untuk memulakan proses konsultansi dan rundingan Belanjawan 2021 dengan blok pembangkang untuk memastikan peruntukkan-peruntukkan yang disalurkan tepat pada hasratnya dan sampai kepada Rakyat secara optimum. Janganlah Muhyddin Yassin takut pada bayangnya sendiri.
Kini, Muhyddin Yassin begitu khuatir dengan kedudukannya, sehingga hendak melaksanakan Darurat atas nama Covid-19. Adakah Muhyddin Yassin tidak mempunyai keyakinan terhadap Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan, atau beliau tidak mempunyai keyakinan terhadap 113 Ahli Parlimen PN beliau?
Muhyddin Yassin harus berkelakuan sebagai seorang negarawan yang sanggup menghadapi cabaran lantaran daripada ancaman Covid-19 bersama-sama dengan kesemua Ahli-Ahli Parlimen pada ketika ini, dan bukannya bertindak sebagai seorang pengecut sehingga merosakkan system domokrasi berparlimen yang sedia ada.