Dasar bersama Pakatan Rakyat serta manifesto pilihanraya 2008 dan 2013 tidak memuatkan pelaksanaan hudud ataupun penubuhan negara Islam. Ia telah dipersetujui oleh semua parti komponen PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.
Semua parti komponen boleh mematuhi objektif masing-masing dalam rangka demokrasi. Namun keutamaan dan fokus harus diberikan kepada dasar bersama Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti seperti membanteras rasuah, memastikan urustadbir yang baik, mewujudkan kedaulatan undang-undang dan keadilan, memastikan kemakmuran ekonomi dikongsi secara saksama dengan rakyat dan tidak hanya dinikmati oleh kroni.
Pendirian Pakatan Rakyat dipertegaskan semula oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila saya bertanya kepada beliau tentang laporan The Malaysian Insider yang memetik beliau sebagai berkata, model dan pelaksanaan hudud yang bakal diguna pakai oleh kerajaan negeri Kelantan perlu difahami terlebih dahulu sebelum Pakatan Rakyat mengambil keputusan bersama untuk mempersetujuinya.
Pendirian Pakatan Rakyat tidak berubah kerana pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud tidak berubah. Di bawah Pakatan Rakyat, mesti ada konsensus ketiga-tiga parti dalam hal dasar. Memandangkan DAP tidak menyokong pelaksanaan hudud, isu sokongan Pakatan Rakyat terhadap hudud tidak bangkit.