Skip to content

Dasar levi akan meningkatkan kos, majikan tanggung 5 bilion

Saya tidak menafikan tentang keperluan pekerja asing di negara kita. Terdapat banyak sektor atau jenis pekerjaan yang langsung tidak diminati oleh rakyat tempatan. Oleh yang demikian, sektor-sektor seperti industri pembinaan, perladangan, perkilangan malah restoran-restoran amat memerlukan tenaga kerja asing.

Tanpa pekerja asing industri-industri ini akan terbantut. Ini boleh menjejaskan ekonomi negara. Walau bagaimanapun pengambilan pekerja asing perlu dilakukan dengan kaedah ‘need base’ iaitu mengikut keperluan sahaja.

Jika seseorang majikan benar-benar memerlukan pekerja asing dan beliau boleh membuktikan keperluannya itu, maka kerajaan harus memberi pertimbangan yang sewajarnya. Tetapi, majikan tidak boleh menggunakan peluang ini untuk menggantikan pekerja tempatan atau melaksanakan dasar-dasar diskriminasi upah yang merugikan pekerja tempatan. Jangan kita sanggup menyusukan kera di hutan, anak sendiri dibiar kelaparan.

Walau bagaimanapun, saya kurang bersetuju dengan polisi kerajaan baru yang memindahkan beban bayaran levi ke atas bahu majikan. Sebelum ini pekerja-pekerja asing yang bekerja di negara kita terpaksa membayar levi melalui potongan gaji oleh majikan. Mulai 1 Januari 2017, kerajaan mengkehendaki majikan membayar levi dan bukannya oleh pekerja-pekerja asing. Saya tidak memahami rasional bagaimanakah kaedah baru ini boleh menyelesaikan masalah lambakan pekerja asing di negara kita.

Pemindahan levi ini akan membebankan lagi majikan-majikan kita lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi negara kita yang tidak menentu. Banyak juga majikan-majikan telah menggulung tikar kerana peningkatan kos operasi dan mengalami kerugian. Dasar baru ini akan mewujudkan kos tambahan sebanyak 5 bilion yang terpaksa ditanggung oleh majikan-majikan kita. Majikan terpaksa membayar levi RM1500 hingga RM2000 bagi setiap orang pekerja asing bergantung kepada industri.

Adakah ini adil kepada majikan-majikan di negara kita? Bukankah pekerja-pekerja asing yang datang bekerja di negara kita sememangnya telah bersetuju untuk membayar levi daripada gaji mereka? Kenapakan kaedah ini perlu diubah secara tiba-tiba? Siapakah yang beruntung sebenarnya?