Saya mengutuk sekeras-kerasnya penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang terus mengamalkan diskriminasi mengikut kaum dan warna kulit.
Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menubuhkan BERSATU bersama dengan beberapa bekas pemimpin UMNO termasuk Tun Dr Mahathir semalam. Namun, bangsa bukan Melayu tidak dibenarkan untuk bertanding bagi mana-mana jawatan dan hanya dibenarkan untuk menjadi ahli bersekutu ataupun menganggotai sebarang jawatan sekiranya dilantik.
Usaha untuk menjadikan ahli bukan Melayu sebagai ahli bersekutu (sekunder) serta melarang ahli-ahli tersebut daripada mengundi serta menyertai pemilihan parti adalah salah satu bentuk politik perkauman. Sesebuah parti politik yang membezakan ahli mengikut kaum dan warna kulit jelas merupakan diskriminasi kaum.
Mungkin Muhyiddin Yassin berfikir bahawa BERSATU hanya akan bertanding di kawasan UMNO dan maka ia tidak perlu menampilkan unsur kepelbagaian. Namun langkah yang terus mengamalkan diskriminasi kaum seperti mana politik lama yang diamalkan oleh UMNO pastinya tidak akan mendapat sokongan rakyat jelata kerana amalan politik perkauman tidak mampu membawa mesej perubahan dan reformasi yang diingin-inginkan oleh seluruh rakyat dan akhirnya gelombang perubahan tidak akan wujud lagi dan rakyat khususnya pengundi Melayu luar bandar tidak akan mengundi BERSATU disebabkan kurangnya keyakinan terhadap BERSATU.
Dasar perkauman yang diamalkan BERSATU merupakan percaturan politik silam yang tidak harus digunapakai lagi. Langkah sedemikian bukan sahaja tidak akan disokong oleh pengundi bandar yang progresif, malah pengundi luar bandar turut tidak dapat membezakan antara UMNO dengan BERSATU dan sudah pasti mereka tidak akan mengundi parti sebegini yang hanya ditubuhkan untuk menumpaskan rejim Najib.
Parti politik baharu yang terus mengamalkan diskriminasi kaum tidak akan menyelamatkan Malaysia dan sebaliknya hanya akan menjadikan wabak perkauman terus bermaharajalela di tanah air ini. DAPSY dengan tegasnya menolak untuk bekerjasama dengan sebarang parti politik yang mengamalkan dasar perkauman seperti BERSATU yang tiada bezanya dengan UMNO.