Presiden UMNO Dato’ Sri Najib Tun Razak tidak menghormati demokrasi dengan menyalahkan masyarakat Cina sebagai kambing hitam kerana kekalahan BN dalam undi popular, terdesak kerana bermain politik perkauman untuk mengalih perhatian daripada prestasi pilihan raya yang paling teruk dalam sejarah BN dan tidak jujur kerana mempromosikan perdamaian nasional sementara kedua-dua UMNO dan Chua Soi Lek sedang melaga-lagakan orang Melayu dengan Cina. Jika Najib serius tentang perdamaian di kalangan semua rakyat Malaysia, maka beliau harus mengarahkan akhbar milikan UMNO, Utusan Malaysia, untuk berhenti mengapi-apikan sentimen perkauman terhadap masyarakat Cina.
Muka depan Utusan Malaysia hari ini mengajukan soalan: “Apa lagi Cina mahu” dalam cubaan fasis dan rasis untuk menggambarkan keputusan PRU 2013 sebagai keputusan Cina lawan Melayu. Ramai penganalis sudah pun mempertikaikan herotan data tersebut, kerana beza antara PR dan BN sebenarnya merupakan perpecahan pola antara bandar dan luar bandar.
Datuk A Kadir Jasin, bekas pengarang akhar milikan UMNO New Straits Times telah berkata bahawa keputusan BN yang lebih lemah dalam PRU 2013 menunjukkan bahawa semua rakyat Malaysia telah menolak BN, dan bukan hanya orang Cina yang merupakan minoriti. Datuk Jasin telah menyatakan bahawa BN telah kalah undi popular untuk kali pertama sejak 1969 akibat tsunami Malaysia yang berkisar pada aspirasi dan realiti baru, khususnya di kalangan pengundi baru.
Hakikatnya, BN mempunyai kerusi yang kurang berbanding PRU 2008, 133 (dahulu 140) kerusi Parlimen dan 275 (306) daripada 505 kerusi dewan undangan negeri, adalah gambaran penurunan undi popular yang jelas di mana PR telah berjaya meraih 270,000 lebih undi berbanding BN. PR telah memenangi 89 kerusi berbanding 82 di peringkat Parlimen dan 230 kerusi DUN berbanding 199 dahulu. Bagaimanakah keputusan ini boleh dikatakan sebagai tsunami Cina apabila PAS telah berjaya memenangi 15 kerusi DUN di Terengganu berbanding 17 oleh UMNO, apabila 95% rakyat Terengganu merupakan Melayu?
Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengatakan bahawa tambahan kepada peningkatan sokongan Cina untuk PR, tsunami politik ini telah menampakkan peningkatan sokongan Melayu kelas menengah, khususnya di kawasan-kawasan bandar. Majoriti DAP telah meningkatkan atas sokongan anak-anak muda Melayu, dan ia adalah terlalu senang untuk memberi label perkauman. Dua lagi faktor yang beroperasi dengan kaum adalah: kelas (kaya-miskin, kelas menengah) dan tata ruang (bandar dan luar bandar). Malah ahli Majlis Tertinggi UMNO Saifuddin Abdullah yang telah kalah kepada PAS di Parlimen Temerloh tidak menyalahkan sesiapa.
Bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam harus sedar bahawa beliau kalah dalam kerusi parlimen majoriti Melayu Bukit Katil kerana orang Melayu telah menolaknya. Bila saya berkempen di Melaka, saya terkejut dengan betapa meluatnya orang ramai dengan perbelanjaan kenduri perkahwinan anak Datuk Mohd Ali yang telah menjamu 130,00 tetamu dalam kenduri paling besar dalam sejarah Malaysia.
Daripada menjadi tidak jujur dan menyalahkan orang Cina untuk prestasi lemah BN dan menjadi terdesak untuk menutup sebab sebenar kenapa PR tidak menjadi kerajaan di Putrajaya walaupun telah memenangi lebih undi, Najib harus menghormati pilihan demokratik pengundi. Najib tidak akan memenangi kembali undi Melayu kepada PR dengan mengambil jalan senang dan menyalahkan orang Cina. Pengundi Melayu yang menyokong PR boleh melihat bahawa UMNO dan Chua Soi Lek tiada dasar selain kebencian perkauman, tiada prinsip selain politik wang dan mengutamakan kroni.
DAP mengecam Utusan Malaysia kerana mengapi-apikan kebencian perkauman dan menyeru agar semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bangkit bersama untuk menentang tindakan yang begitu tidak bertanggungjawab. Jelas Najib hanya mengulangi apa yang dibuat mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menghukum orang Cina selepas pilihan raya umum, sementara beliau meminta sokongan mereka semasa pilihan raya. Jika Najib ingin menurut Mahathir dengan menyalahkan orang Cina selepas pilihan raya, maka Najib telah menunjukkan bahawa beliau tidak boleh dipercayai, sepertimana Mahathir.