Plaza Rakyat barangkali projek pembangunan paling tidak dipedulikan sejak kerja pembinaannya terhenti sewaktu krisis ekonomi 1998. Terletak betul-betul bersebelahan Puduraya, ia kelihatan seperti pusat pembiakan nyamuk paling meriah di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.
16 tahun kemudian sejak ia terbengkalai, kita mendapat khabar bahawa ia kini bakal mendapat nafas baru, serta pemaju baru, yang dilaporkan menjanjikan sesuatu yang lebih lumayan kepada pihak berkuasa tempatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dua hari lalu, akhbar The Star melaporkan bahawa DBKL telah ‘memilih’ sebuah syarikat untuk menghidupkan kembali projek Plaza Rakyat; namun malangnya telah gagal melakukan penawaran secara terbuka kepada pihak-pihak lain yang berminat sebelum ia bertindak memberikan projek tersebut kepada Profit Consortium Sdn Bhd. (http://www.thestar.com.my/Business/Business-News/2014/09/09/DBKL-to-get-more-out-of-Plaza-Rakyat-from-a-new-party-chosen-without-a-tender/)
Tindakan DBKL memberikan projek berbilion ringgit di pusat bandar Kuala Lumpur ini kepada sebuah syarikat milik bekas tentera tanpa sebarang tender menyebabkan kita sangsi. DBKL perlu memberi penjelasan, demi kepentingan rakyat, kenapa perkara sebegini boleh terjadi?
Mesyuarat Kabinet yang pertama selepas Pilihanraya Umum ke-13 memberikan gambaran indah kepada kita bahawa kerajaan Barisan Nasional menjamin proses pentadbiran yang telus (http://www.pmo.gov.my/?menu=newslist&page=1731&news_id=11482&news_cat=13), manakala DBKL sendiri dalam perkara pertama prinsip Local Agenda 21-nya menetapkan kepentingan ‘Penyertaan Dan Ketelusan’. (http://www.dbkl.gov.my/la21kl/index.php?menu=5&pg=pengenalan/la21/prinsip)
DBKL bertanggungjawab memberi penjelasan tentang ketidaktelusan ini sekiranya ia tidak mahu orang ramai mengesyaki wujud korupsi dalam perincian projek yang diberikan tanpa tender ini.
Saya menuntut supaya Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib supaya segera mengadakan sidang media bagi memberi penjelasan dan membuka ruang soal jawab kepada wartawan mengenai pemberian projek tersebut. Sekiranya gagal, ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat Kuala Lumpur pastinya akan membangkitkan hal ini di sidang Parlimen bulan hadapan.
Datuk Bandar mesti menjelaskan apa sebabnya projek ini dianugerahkan kepada syarikat yang mempunyai hubungan dengan ahli politik kerajaan Barisan Nasional tanpa sebarang tender.