Skip to content

Datuk Seri Azmin Ali dan rakan-rakan wajar memberikan penjelasan kepada pengundi masing-masing, kenapa mereka sanggup berkomplot dengan UMNO dan PAS

Saya membaca kenyataan media Datuk Seri Azmin Ali dengan penuh rasa geli hati. Bagaikan menegakkan benang yang basah, beliau sedang gigih mencuba untuk menyelamatkan diri dan rakan-rakan baharunya setelah dua hari berhempas pulas untuk merampas kuasa.

Azmin cuba untuk memutar-belit dengan cerita dongeng dan cuba untuk menjadi wira, padahal Azmin lah sebenarnya si musang berbulu ayam; yang bernafsu besar sehingga sanggup mendakap erat perasuah-perasuah dan koruptor daripada UMNO.

Hairan sungguh bagaimana beliau boleh mendakwa ada perancangan untuk menjatuhkan Tun Dr Mahathir sedangkan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan telah sebulat suara menyerahkan hal peralihan kuasa ke tangan Perdana Menteri sendiri.

DAP sehingga hari ini, berdiri teguh menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Tidak seperti beliau yang berkali-kali merajuk dan melarikan diri daripada mesyuarat-mesyuarat Pakatan Harapan sekiranya apa yang beliau mahu tidak dapat dicapai. Mungkin kerana itulah beliau tidak mengetahui pendirian rasmi Pakatan Harapan mengenai perkara ini.

Kalau pun Azmin benar-benar tidak boleh menerima kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau tidak perlu bersekongkol dengan UMNO dan PAS yang selama ini pun tidak sunyi daripada mencela kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

10 ahli parlimen yang turut keluar daripada KEADILAN dengan beliau wajar memberikan penjelasan kepada pengundi masing-masing, kenapa mereka sanggup berkomplot dengan UMNO dan PAS.

Sekiranya gagal, mereka harus menerima hakikat bahawa mereka telah mengkhianati amanah rakyat, dan telah dengan mata terbuka bersubahat dengan musuh-musuh rakyat yang telah merompak negara dan menimbulkan perselisihan antara kaum selama ini; demi kepentingan politik semata-mata.

Saya menyarankan mereka ini supaya turun ke kawasan dan berdepan dengan pengundi; serta menjelaskan apa sebab mereka sanggup bergabung dengan UMNO dan PAS. Itu pun kalau mereka berani.