Sebagai wakil rakyat dari parti pembangkang, kami mengalu-alukan pengumuman Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin agar menggunakan hasil VEP untuk meningkat taraf kemudahan pengangkutan awam.
Walaubagaimanapun, pihak kami amat kecewa kerana Datuk Seri Khaled Nordin tidak berani memberi jaminan bahawa sekurang-kurangnya 50-70% hasil VEP akan disalur kepada kerajaan negeri Johor.
Sebagai Menteri Besar Johor, beliau seharusnya berjanji bahawa beliau akan memperjuangkan hak anak Johor bersabit perkara ini.
Kepentingan anak Johor perlu didahulukan dalam rundingan antara kerajaan negeri dan persekutuan. Kepentingan anak Johor akan terjejas sekiranya VEP dilaksankan hanya untuk meningkatkan pendapatan kerajaan persekutuan.
Kedua, pihak kerajaan negeri perlu mempertimbangkan cadangan berikut bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat melalui peningkatan perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh Johor, khasnya, Wilayah Iskandar:
A. Tambak Johor dibuka untuk pejalan kaki serta pembinaan “walkalator” untuk membantu pejalan kaki.
B. Penambahan bilangan bas yang menghubungkan kompleks CIQ dan kastam Singapura pada waktu puncak.
C. MRCB yang mengutip caj tol yang tinggi bertanggungjawab untuk menyediakan bas percuma demi meringankan beban pengguna jalan raya.
D. Mengurangkan trafik motorsikal yang sentiasa sesak di tambak Johor dan kastam.
Saya ingin menekankan bahawa MRCB sebagai syarikat konsesi EDL yang mengaut keuntungan tinggi hasil kutipan caj seharusnya meringankan beban kerajaan negeri Johor.
Ketiga, pembinaan rumah mampu milik dengan hasil VEP seharusnya dilaksanakan di kawasan strategik sekitar 30 minit perjalanan ke Johor Bahru untuk membina rangkaian pengangkutan awam yang lebih menyeluruh. Pembinaan rumah mampu milik di lokasi yang jauh dari Johor Bahru tidak akan meyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anak Johor sekarang.