Skip to content

Datuk Seri Khaled Nordin seharusnya meminta maaf atas sebarang tuduhan yang tanpa asas di laman sosial Twitter

Sebagai wakil rakyat Johor, saya rasa amat kesal dengan tindakan kerajaan Barisan Nasional yang tidak prihatin terhadap kehidupan rakyat yang akan terkesan dengan dasar VEP yang akan dilancarkan, serta sikap mereka yang gemar bermain politik perkauman tanpa mempertimbangkan akibatnya.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin telah berkongsi dua grafik di laman sosial Twitter hari ini yang memfitnah parti DAP dan saya kononnya tidak mempertahankan kepentingan Malaysia, dan sebaliknya menjaga kepentingan negara Singapura.

Inilah bukti terbaru UMNO Johor memutar belit kenyataan DAP. Pihak yang membuat fitnah dengam niat jahat ini tidak pun membaca kenyataan penuh saya serta mengabaikan fakta-fakta dan alasan yang saya berikan dalam kenyataan media tersebut.

Saya ingin menegaskan bahawa, kerajaan BN tidak sepatutnya melaksanakan dasar-dasar yang akan membawa kesan negatif kepada rakyat sebelum membuat kajian.

VEP boleh dilancarkan sekiranya kerajaan BN menawarkan alternatif pada masa yang sama agar mengurangkan kesan negatif terhadap warga Malaysia yang terpaksa memandu kenderaan sendiri tiap-tiap hari.

Dalam 3 kenyataan saya mengenai VEP, saya telah menasihatkan secara berulang kali bahawa, kepentingan warga Malaysia yang bekerja di Singapura perlu dipertimbangkan kerana mereka adalah golongan yang menerima kesan langsung sekiranya VEP dilancarkan. VEP tidak boleh dijalankan sekiranya dana yang dikutip dari VEP tidak digunakan meningkat taraf perkhidmatan pengangkutan awam Johor Bahru.

Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed turut mengambil pendirian yang sama dengan DAP dalam isu ini.

“Saya selaku ahli Parlimen mendapat pelbagai pertanyaan berikutan langkah kerajaan berkenaan kerana bagi mereka yang bekerja di Singapura dan menggunakan kenderaan negara itu, sudah pasti terjejas dengan pelaksanaan VEP.” Kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan pada 17hb Julai 2014.

Oleh demikian, tindakan Datuk Seri Khaled Nordin menyebarkan tuduhan dan fitnah yang tanpa asas amat dikesali, tambahan pula fitnah ini dilakukan pada hari raya ketiga. Ini bukan tindakan seorang tokoh politik yang matang.

Saya ingin memberi penekanan terhadap perkara-perkara berikut dan memohon penjelasan daripada pihak berkenaan dengan segera:

  1. VEP hanya boleh dilancarkan selepas kajian sepenuhnya dijalankan oleh kerajaan.
  2. Dana VEP sepatutnya diguna untuk meningkat taraf perkhidmatan pengangkutan awam Johor Bahru, bukan sahaja sambungan bas antara Johor Bahru dan Singapura.
  3. Datuk Seri Khaled Nordin seharusnya meminta maaf atas sebaran tuduhan yang tanpa asas tersebut.