Saya merasa sangat kesal dengan tindakan DBKL yang menjual 6.17 ekar tanah di Taman Desa kepada Mah Sing Group Berhad untuk menjalankan pembinaan rumah yang berdensiti tinggi dengan plot ratio 1:9.
Sekali lagi, saya sebagai Ahli Parlimen Kawasan Seputeh tidak diberitahu dan dilibat-urus oleh kerajaan tentang kelulusan penjualan tanah dan projek pembangunan jauh lebih awal sebelum ia berlaku, tetapi saya hanya tahu tentang isu ini selepas Mah Sing Group Berhad mengumumkannya di media pada minggu lepas.
Mengikut laporan akhbar, Mah Sing Group Berhad telah berjaya mendapat tanah di Taman Desa. Syarikat itu bercadang akan menjalankan pembangunan tanah tersebut dalam dua fasa, fasa pertama adalah membina 1,612 unit serviced apartment di bawah nama M Aspira di plot 3.7 ekar, dan fasa kedua adalah 800 unit rumah mampu milik di atas nama Residensi Madani di atas 2.47 ekar. Jumlah nilai pembangunan adalah RM1.01 bilion.
Plot tanah yang dijual oleh DBKL kepada Mah Seng Group tersebut adalah tanah yang pernah diambil balik daripada syarikat pemaju Aset Kayamas oleh kerajaan bila Khalid Samad memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan (Julai 2018 – Februari 2020). Mantan Menteri Khalid Samad melakukan ini setelah mengambilkira aduan “pembangunan yang berlebihan” daripada penduduk di Taman Desa.
Pada waktu itu, kerajaan berkeinginan untuk menjadikan kawasan lapang tersebut sebagai taman rekreasi dan riadah bagi penduduk Taman Desa, tetapi rancangan ini dibatalkan sekarang dan digantikan dengan pembangunan yang lebih pesat di kawasan tersebut.
Tindakan kerajaan sekarang memang tidak masuk akal, kerana tanah tersebut dijual dua kali oleh DBKL, dan rancangan pembangunan yang telah dibatalkan dihidupkan semula dengan tanah dianugerah kepada syarikat pemaju yang lain.
Memandangkan DBKL telah menggunakan Kaedah 7 di bawah Kaedah-kaedah Rancangan Pembangunan (1970) dengan menjemput pemilik tanah di sekitar cadangan tapak tersebut untuk membentangkan pandangan dan menghantar kepada Pengarah Jabatan Perancangan Bandaraya Kuala Lumpur, saya menyeru penduduk-penduduk di persekitaran cadangan projek tersebut di Taman Desa untuk menulis bantahan mereka dan emel kepada DBKL pada [email protected] sebelum 21 Julai 2024.