Dua perkara yang terjadi pada bulan ini yang akan menentukan sama ada kita berada dalam hala tuju menjadi sebuah negara yang gagal, berpecah belah, dan kleptokratik atau menjadi sama ada kita mampu untuk menghentikan kemerosotan negara dalam beberapa dekad lagi untuk menjadi sebuah negara hebat dunia, iaitu: seruan dari penerima Anugerah Pendidikan Diraja, Nahvin Muthusamy, untuk meritokrasi dalam pendidikan dan perlindungan kumpulan minoriti semasa memberikan ucapan penerimaan anugerahnya dan juga “Mastura-risasi” Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang melahirkan robot-robot dan juga Ahli-ahli Parlimen yang tidak berfikir yang menyebarkan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian dan bukannya melahirkan sarjana-sarjana yang cemerlang.
Pengerusi Majlis Profesor Kebangsaan, Prof Shamsul Amri Baharuddin telah menyeru supaya libat urus lebih lanjut diadakan mengenai isu meritokrasi dalam sistem pendidikan tinggi dan tidak ada respons yang lebih baik untuk Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin, dan Majlis Profesor Kebangsaan selain dari untuk menjalankan kajian untuk mengembalikan meritokrasi dan menamatkan “Mastura-risasi” DEB yang telah melahirkan para pemegang ijazah doktor falsafah yang tidak berfikir.
Semasa DEB diperkenalkan pada Februari 1971, dasar ini diniatkan untuk dilaksana dalam tempoh 20 tahun. Sekarang, 52 tahun telah berlalu sejak DEB diperkenalkan. Adakah kita sudah bersedia untuk menyemak semula DEB dan kembali semua kepada era di mana meritokrasi tidak dilihat sebagai satu perkataan yang kotor dan untuk kita hentikan Mastura-risasi DEB?
Lima puluh dua tahun yang lepas pada Februari 1971, berikut adalah apa yang saya katakan di Parlimen:
“Kami berdedikasi untuk menghapuskan kemiskinan dan kemunduran ekonomi tanpa mengira kaum. Kami mahu mencipta komuniti Malaysia tanpa perbezaan kelas yang diasaskan kepada persaudaraan, kerjasama, dan khidmat, di mana tiada eksploitasi antara manusia, kelas, atau kaum.
“Kami sokong apa-apa langkah yang akan membantu nasib golongan miskin Melayu. Tetapi kami membantah keras penggunaan hak istimewa orang Melayu untuk terus mengayakan lagi golongan kaya baru Melayu sedangkan golongan Melayu marhaen dan miskin terus kekal miskin.
“Ada ketidakadilan sosial yang teruk dan pengagihan kekayaan dan pendapatan yang sangat tidak saksama di Malaysia. Dalam tahun-tahun yang lepas, kelas-kelas feudal-peniaga dan taikun terus menjadi semakin kaya, manakala golongan kebanyakan rakyat dan pekerja terus menerus ditindas.
“Masalah di Malaysia ditambah teruk lagi dengan kebetulan berganda. Pertamanya, pembahagian kelas di Malaysia kelihatan selari dengan pembahagian perkauman, keduanya, perbezaan pendapatan dan produktiviti di antara kawasan bandar dan luar bandar juga kelihatan selari dengan garis perkauman kerana pekan-pekan kebanyakan menjadi tumpuan golongan bukan Melayu manakala sejumlah besar orang Melayu tertumpu di kawasan kampung.
“Namun, ketidakseimbangan ekonomi di antara kawasan bandar-luar bandar ini bukanlah satu fenomena yang unik kepada Malaysia sahaja. Fenomena perbezaan sosial, ekonomi, dan kebudayaan di antara kawasan bandar dan luar bandar ini juga membelenggu negara-negara membangun yang lain. Jelas, perkara ini adalah satu masalah yang bersifat universal, mencerminkan proses sosio-ekonomi yang lebih perlahan di kawasan luar bandar berbanding dengan kawasan bandar.
“Kunci untuk kita rapatkan jurang ini adalah dengan memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih hebat dan pantas di kawasan luar bandar, dan bukannya dengan melaksanakan doktrin perkauman yang bersifat jahat dan merosakkan yang menyamakan jurang perbezaan dan ketidaksamaan ekonomi dengan garis perkauman dalam negara.
“Sebarang cubaan untuk meletakkan teori dan penyelesaian yang bersifat perkauman kepada masalah ekonomi golongan yang memerlukan hanya akan berjaya untuk melaga-lagakan satu kaum dengan kaum yang lain, dan perkara ini hanya akan membawa kepada holokaus perkauman. Perkara ini juga akan diasaskan kepada penipuan besar yang kononnya semua golongan berada di Malaysia ini adalah orang bukan Melayu manakala semua yang susah pula adalah orang Melayu.
“Masalah yang dihadapi Malaysia adalah masalah ekonomi dan kelas, bukannya masalah perkauman.”
Saya katakan: “Setiap rakyat Malaysia akan menyokong hak istimewa untuk membantu orang Melayu yang susah, seperti mana juga setiap rakyat Malaysia akan menyokong apa-apa bentuk bantuan khas untuk orang susah bukan Melayu, atas dasar keperluan dan bukannya atas dasar warna atau kaum.”
Adakah kita bersedia untuk menetapkan semula dasar-dasar pembinaan negara selari dengan prinsip-prinsip Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara untuk menghentikan salah guna dan pemesongan DEB seperti yang terjadi dengan “Mastura-risasi” pada hari ini untuk kita merealisasikan Impian Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia?