Adakah mata pelajaran Sejarah yang diajar di sekolah pada hari ini benar-benar mencerminkan Sejarah silam negara ini? Sejarah tidak akan menjadi Sejarah lagi jika terdapat manupulasi fakta untuk kepentingan mana-mana pihak. Sejarah tidak boleh diubah-ubah mengikut selera dan citarasa penulis buku. Sejarah adalah akademik dan perlu dikaji dan dipelajari dalam konteks ‘as it is’ tanpa mengubah atau menutup apa-apa fakta dan peristiwa dengan niat tertentu. Berikut adalah definisi untuk Sejarah :-
Pengertian Sejarah Menurut Aristotle : Sejarah merupakan satu sistem yang meneliti suatu kejadian sejak awal dan tersusun dalam bentuk kronologi. Pada masa yang sama, menurut beliau juga Sejarah adalah peristiwa-peristiwa masa lalu yang mempunyai catatan, rekod-rekod atau bukti-bukti yang konkrit.
Pengertian Sejarah Menurut M Yamin : Sejarah adalah ilmu pengetahuan dengan umumnya yang berhubungan dengan cerita bertarikh sebagai hasil penfsiran kejadian-kejadian dalam masyarakat manusia pada waktu yang telah lampau atau tanda-tanda yang lain.
Pengertian Sejarah Menurut Drs. Sidi Gazalba : Sejarah sebagai masa lalu manusia dan seputarnya yang disusun secara ilmiah dan lengkap meliputi urutan fakta masa tersebut dengan tafsiran dan penjelasan yang memberi pengertian dan kefahaman tentang apa yang berlaku.
Daripada ketiga-tiga definisi ini dapat disimpulkan bahawa Sejarah merupakan ilmu pengetahuan mengenai masa lampau manusia mengikut urutan masa dengan pentafsiran peristiwa-peristiwa yang disokong dengan bukti-bukti yang sahih.
Segala bentuk penipuan dan manipulasi pada Sejarah yang sebenar akan menjadikan bahan itu satu fiksyen yang tidak bernilai. Oleh yang demikian, kita harus mengajar anak-anak kita Sejarah yang betul daripada sumber yang tepat. Segala bentuk penipuan dalam Sejarah akan merugikan kita sendiri kerana kita akan hilang riwayat asal usul dan kelahiran sebuah negara bangsa.
Saya telah mengemukan satu soalan lisan di Dewan Rakyat pada 21 Oktober 2013 kepada Menteri Pendidikan. Soalan saya berbunyi seperti ini:-
‘Nyatakan cadangan Kementerian menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah. Siapakah yang telah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa itu dan apakah perkembangan terkini mengenai kajian yang dilakukan?’
Menteri Pendidikan telah memberi jawapan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sekolah Menengah pada 3 Mei 2011 sehingga 2 Mei 2012 yang dianggotai 10 orang yang terdiri daripada tokoh dan pakar dalam pelbagai bidang terutama berkaitan pendidikan dan Sejarah. Jawatankuasa Khas ini ditubuhkan bertujuan untuk mengkaji kurikulum dan kandungan buku teks Sejarah Sekolah Menengah supaya lebih berfokus kepada hubungan dan kerohanian dan seterusnya memupuk perpaduan kaum di negara ini.
Saya ingin mengetahui apakah cadangan-cadangan Jawatankuasa Khas itu? Niat untuk mewujudkan perpaduan kaum adalah baik dan murni. Tetapi, apakah isi kandungan Sejarah yang pernah wujud dalam sukatan pelajaran sebelum ini yang perlu disingkirkan? Apakah perkara-perkara baru yang tidak terkandung dalam matapelajaran Sejarah sebelum ini yang perlu dimasukkan untuk mencapai tujuan tersebut. Semua perubahan-perubahan yang dicadangkan itu harus didedahkan oleh Kementerian Pendidikan supaya orang ramai termasuk pakar-pakar Sejarah yang lain juga boleh menilai dan memberi pandangan mengenai perubahan-perubahan yang dicadangkan itu.
Pada 15 Mei 2012 Jawatankuasa Khas itu telah membentangkan laporannya kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Beliau telah memutuskan supaya cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas itu diteliti dan diambil tindakan. Selaras dengan itu, 2 lagi jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu:
- Jawatankuasa Kerja Penambahbaikan Mata Pelajaran Sejarah
- Panel Pakar Rujukan Kurikulum Sejarah dan Buku Teks
Saya rasa kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh Menteri Pendidikan. Bahagian pertama soalan saya telah dijawab secara sepintas lalu. Tetapi, bahagian kedua soalan saya mengenai keanggotaan jawatankuasa tersebut dan perkembangan terkini mengenai hasil kajian itu tidak dijawab oleh Menteri. Saya tidak tahu apa niat sebenar kerajaan memilih untuk tidak menjawab soalan saya secara keseluruhannya.
Keengganan Menteri untuk menjawab soalan saya itu sendiri menimbulkan banyak persoalan dan kemusykilan mengenai perkara yang dibangkitkan. Saya berpendapat bahawa rakyat berhak untuk mengetahui siapakah yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan untuk menganggotai panel atau Jawatankuasa Khas tersebut. Perkara ini tidak perlu diselindungi oleh kerajaan jika tujuanya adalah murni untuk menambahbaik mata pelajaran Sejarah.
Lebih penting daripada itu, sejauh manakah cadangan-cadangan yang disarankan oleh Jawatankuasa Khas itu diterima dan diserapkan dalam mata pelajaran Sejarah pada hari ini?