Merujuk kepada rancangan kumpulan anak-anak muda yang ingin turun berdemonstrasi di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini, ia merupakan satu langkah matang yang bukan sahaja selaras dengan budaya demokrasi malah ia juga adalah hak asasi yang dijamin oleh undang-undang tertinggi Negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.
Kami Pemuda DAP bersama-sama dengan pemuda PAS dan Angkatan Pemuda Keadilan (AMK) mengambil prinsip dengan menyokong langkah ini selari dengan semangat perlembagaan, undang-undang dan demokrasi yang matang.
Malah prinsip kami ini juga seharusnya turut diikuti oleh Pemuda Barisan Nasional khususnya Pemuda MCA dengan barisan kepimpinan baru yang mendakwa ingin malaksanakan pembaruan, tetapi berdiam diri dalam membela dan mempertegaskan hak-hak asas demokrasi oleh kumpulan anak-anak muda yang pro-demokrasi.
Kita juga ingin menjemput sama Pemuda MCA dan UMNO yang memegang prinsip demokrasi untuk turun sama berdemo pada 31 Disember ini untuk membantah polisi ‘naik-naik’ kerajaan Barisan Nasional. Jika tidak, laungan pembaharuan atau transformasi oleh pemuda-pemuda BN hanya menjadi retorik semata-mata.
Harus juga diingat bahawa kumpulan anak-anak muda ini adalah mereka yang prihatin terhadap apa yang sedang dan yang akan membelengu rakyat dengan peningkatan luar biasa kos sara hidup rakyat terbanyak.
Mereka ini adalah kumpulan pro-demokrasi yang harus dihormati, diberi ruang sesuai dengan prinsip-prinsip keadilan serta harus diberi kerjasama oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Kumpulan pro-demokrasi ini bukanlah kumpulan penjenayah atau mereka yang berniat buruk untuk menggulingkan kerajaan apatah lagi untuk melakukan keganasan, sebaliknya kumpulan pro-demokrasi yang pelbagai kaum dan latarbelakang ini wujud dan berjuang demi memastikan nasib rakyat yang tertindas, terus dibela dan dibantu.
Menyamakan kumpulan pro-demokrasi ini dengan tindakan jenayah dengan memberi gambaran yang salah merupakan satu tindakan yang tidak wajar kerana secara lojiknya, kumpulan penjenayah tidak akan sekali-kali berdemo di Dataran Merdeka untuk mendapat perhatian apatah lagi untuk menuntut haknya!
Oleh itu, kami menyeru kepada pihak-pihak berkuasa agar dapat menjalankan kewajipan mereka dengan profesional malah perlu memberi kerjasama dan membantu demi memastikan demonstrasi berjalan dengan aman dan selamat buat semua. Inilah bentuk kerjasama yang seharusnya wujud dalam prinsip-prinsip demokrasi yang telah matang. Inilah impian Malaysia kita.