Skip to content

Dengan COVID-19 secara berperingkat menjadi endemik, tiada sebab untuk melengahkan pembukaan semula sempadan

DAP bersedia mengenepikan perbezaan politik dan menyokong cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk membuka semula sempadan negara dengan cepat menjelang 1 Mac demi kepentingan ekonomi negara dan selaras dengan protokol kesihatan antarabangsa semasa yang diamalkan di banyak negara asing. Normalisasi interaksi sosial dan penyambungan semula penglibatan perniagaan akan membantu memulihkan ekonomi dan memudahkan peluang pekerjaan terutamanya dalam sektor pelancongan.

Ini juga akan menandakan fasa baharu pandemik COVID-19 yang beransur-ansur menjadi endemik dan pengesahan bahawa kita perlu hidup bersama dengan COVID-19. Dengan COVID-19 secara beransur-ansur menjadi endemik, tidak ada sebab untuk melengahkan pembukaan semula sempadan apabila banyak negara jiran sudah berbuat demikian walaupun terdapat peningkatan jangkitan.

Sebarang kelewatan hanya akan memudaratkan ekonomi negara apabila kerajaan telah terbukti tidak berkesan dalam memerangi COVID-19. Kerajaan perlu menyedari bahawa mereka telah berulang kali gagal menguruskan COVID-19 termasuklah gelombang jangkitan COVID-19 terbaru yang mujurlah mempunyai bilangan kes teruk Kategori 3-5 yang rendah iaitu kurang daripada 200 kes setiap hari.

Setakat 18 Februari, 27,808 kes baharu COVID-19 harian dan 36 kematian baharu dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 3,166,023 dan 32,276 jumlah angka kematian. Malaysia mempunyai jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau Asean dan Asia Timur dengan 972 kematian bagi setiap satu juta penduduk. Kerajaan harus menambah lebih banyak sumber untuk meningkatkan kapasiti ICU COVID-19 sekiranya peningkatan jangkitan memerlukan kadar kemasukan ke hospital yang lebih tinggi.

Ismail Sabri Gagal Memimpin Melalui Teladan

Ketidakcekapan yang ketara dalam tadbir urus sekali gus menandakan kegagalan berterusan dalam menguruskan pandemik COVID-19 oleh pentadbiran BN dan PN berturut-turut. Siri kegagalan berulang ini terdiri daripada pusingan-U SOP, dasar yang berubah-ubah, amalan dua darjat dalam kedua-dua penguatkuasaan dan pematuhan antara VIP dan rakyat serta pemimpin yang tidak komited terhadap tugas mereka.

Bukan sahaja Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, penyandang Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dan Presiden MIC S Vigneswaran ditangkap bergaul rapat dengan sekumpulan ahli politik pada acara MIC di Johor yang melanggar SOP COVID-19 secara terang-terangan, malah Perdana Menteri Ismail Sabri turut ikut serta apabila beliau melakukan pelanggaran SOP yang sama ketika menghadiri majlis kerajaan di Iskandar Puteri, Johor Baru pada 19.2.2022.

Ismail Sabri dan Keluarga Malaysianya telah gagal untuk memimpin melalui teladan. Sebagai pemimpin utama negara yang mengemudi perjuangan menentang COVID-19 dan diamanahkan untuk menggesa pematuhan awam dalam mengurus dan mengumumkan SOP Covid, kedua-dua Ismail dan Hishamuddin telah berubah daripada penggubal undang-undang menjadi pelanggar undang-undang.

Adakah perkara ini akan ditutup dengan denda RM1,000 ke atas Ismail sama seperti denda yang dikenakan ke atas Hishamuddin? Tidak hairanlah terdapat defisit kepercayaan terhadap tanggungjawab peribadi dan akauntabiliti pemimpin kerajaan. Atas sebab ini, rakyat percaya bahawa mereka boleh melakukan tugas yang lebih baik daripada kerajaan dalam menjaga diri mereka dengan memastikan keselamatan mereka sendiri tanpa membahayakan nyawa dan mata pencarian.

Walaupun kita perlu tegas terhadap COVID-19 dan tegas terhadap bahaya COVID-19, kita tidak boleh dikekang sehingga kehidupan dan mata pencarian kita terganggu oleh pandemik virus yang secara beransur-ansur menjadi endemik seperti selesema biasa. Kita mesti menerima, menyesuaikan diri dan tidak takut untuk hidup bersama dengan COVID-19 seperti yang telah dilakukan oleh kebanyakan negara jiran kita.