Skip to content

Dengan hanya 12% kadar kejayaan pekerja asing masuk Malaysia daripada 385,000 kelulusan, lebih baik S.Saravanan ditukar daripada biarkan perniagaan ditutup dan rugi berpuluh bilion Ringgit

Industri minyak sawit Malaysia mengalami kerugian sehingga RM20 bilion menjelang akhir tahun ini, akibat daripada beribu-ribu tan buah-buahan yang dibiarkan rosak apabila masuk ke tahun ketiga kekurangan pekerja sebanyak 120,000 pekerja asing yang menyebabkan syarikat tidak dapat meningkatkan hasil tuaian mereka semasa musim pengeluaran puncak. Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menganggarkan hanya 47,000 pekerja asing telah memasuki Malaysia atau 12% daripada 385,000 kelulusan sejak Januari 2022 bagi pekerja asing yang diluluskan kepada syarikat di semua sektor industri.

Pekerja asing, terutamanya dari Indonesia dan Bangladesh, merupakan kira-kira 80% daripada tenaga kerja di estet Malaysia. Hasilnya, keluaran minyak sawit di Malaysia, pengeluar kedua terbesar dunia, diramalkan merosot daripada 18.1 juta tan metrik pada tahun lepas ketika pengeluaran sepatutnya ditingkatkan, kerugian yang mengerikan disebabkan kegagalan kerajaan sekarang.

Menteri Sumber Manusia S.Saravanan pada bulan lepas berjanji bahawa permohonan awal untuk mengambil kira-kira 400,000 pekerja asing akan diselesaikan sebelum akhir Ogos. Bagaimanapun, kadar kejayaan 12% pekerja asing yang tiba di sini, melambangkan janji-janji palsu Saravanan yang akan menghalang usaha semua industri untuk mengatasi kekurangan 1.2 juta pekerja. Tambahan pula, sektor E&E Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 pekerja dengan segera dan menghadapi kerugian yang semakin meningkat.

Kekurangan pekerja yang teruk telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM33.5 bilion kepada sektor perladangan, sarung tangan getah dan industri alat ganti kenderaan sahaja. Industri lain juga akan mencatatkan kerugian berpuluh bilion ringgit. Bilakah ratusan ribu pekerja asing yang dijanjikan dapat masuk ke negara ini? Kegagalan yang begitu teruk ini akan memberi kesan buruk kepada iklim pelaburan di negara ini.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) mendakwa 1,500 restoran India-Muslim atau restoran “mamak” dijangka ditutup di seluruh negara berikutan kekurangan 30,000 pekerja. Kekosongan ini hanya boleh diisi oleh pekerja asing kerana kesukaran untuk mendapatkan pekerja tempatan. Tiga ribu restoran mamak telah pun ditutup.

Usaha Malaysia untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi akan terjejas jika urusan dokumentasi dan pemprosesan pengambilan buruh asing yang begitu mudah tidak dapat diselesaikan. Dengan hanya 12% kadar kejayaan pekerja asing memasuki Malaysia berbanding kelulusan, S. Saravanan telah gagal dan gagal dengan teruk. Menteri baharu perlu mengambil alih dan membetulkan keadaan.

Seorang Menteri baharu diperlukan untuk membantu dan bukannya menyusahkan perniagaan dengan memotong kerenah birokrasi yang melibatlan banyak permohonan, melaksanakan sistem pemprosesan yang cekap untuk menyelesaikan dengan segera tunggakan permohonan yang besar, dan menerima pakai desentralisasi ke negeri masing-masing melalui pendekatan Pusat Sehenti. Jika tidak, kelewatan yang tidak wajar dalam pengambilan buruh asing akan menyebabkan perniagaan untuk gulung tikar dan adalah lebih baik untuk Menteri berkenaan ditukar daripada membiarkan perniagaan ditutup.