Pada 11 Ogos, Pulau Pinang mencatat 1,385 kes jangkitan baharu COVID-19 yang menunjukkan keperluan mendesak untuk kadar vaksinasi yang lebih cepat dan lebih lancar sebagai perlindungan terbaik terhadap COVID-19. Peningkatan jangkitan harian dan kematian di Pulau Pinang telah menambahkan ketakutan dan meningkatkan keperluan untuk vaksinasi yang lebih cepat.
Persoalan utama adalah bagaimana memastikan bahawa bekalan vaksin dapat tiba lebih awal atau seperti yang dijadualkan. Menyatakan bahawa 100% penduduk dewasa akan mendapat vaksin pada bulan September tidak akan meredakan kebimbangan mereka yang risau tentang nyawa mereka atau mata pencarian bagi mereka yang ingin pembukaan semula ekonomi dengan segera.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah mendedahkan bahawa dia berjaya mendapatkan 210,000 dos tambahan vaksin selain 707,220 dos yang telah diperuntukkan untuk Pulau Pinang, menjadikan sejumlah 917,220 dos diperuntukkan bagi bulan Ogos untuk Pulau Pinang. Masalahnya adalah pemberian dos yang tidak konsisten dengan 30,175 dos yang diberikan pada 11 Ogos tetapi hanya 20,745 dos pada 10 Ogos.
Naik dan turunnya bekalan dos yang diberikan, di mana ada yang terpaksa dibatalkan janji temu vaksin mereka di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tidak akan membantu mencapai sasaran 30,000 dos harian yang dicapai bulan lalu atau mencapai keupayaan Pulau Pinang memberikan 40,000 dos setiap hari bulan ini. Pelaksanaan OSC dapat membantu melancarkan dan mengatasi masalah pemberian dos yang tidak konsisten disebabkan oleh gangguan dalam bekalan.
Kerajaan Persekutuan perlu menerima prinsip bahawa 100% penduduk dewasa diberi vaksin dengan dos pertama menjelang bulan September tidak lagi boleh diterima tetapi perlu dilakukan sebelum Hari Merdeka. Dengan lonjakan jangkitan COVID-19, OSC di Pulau Pinang akan membantu mempercepat vaksinasi dengan memadankan logistik dan bekalan yang stabil untuk memaksimumkan 917,220 dos yang diperuntukkan bagi bulan Ogos bagi mencapai 100% penduduk dewasa mendapat dos pertama mereka sebelum Hari Merdeka.
Banyak yang bertanya kepada saya mengapa Lembah Klang boleh mencapai 102.7% penduduk dewasa yang menerima dos pertama pada 11 Ogos tetapi tidak di Pulau Pinang yang hanya 66.6%? Menyatakan bahawa 100% penduduk dewasa akan menerima dos pertama mereka adalah sekadar penyedap hati bagi mereka yang telah dijangkiti atau keluarga bagi mereka yang telah kehilangan nyawa ketika menunggu vaksin yang tidak pernah tiba serta mereka yang masih menunggu temu janji dengan penuh kecewa. Saya masih ingat kata-kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing, yang kehilangan adiknya akibat COVID-19, bahawa adiknya mungkin masih hidup sekiranya vaksin tiba lebih awal.
OSC akan membantu meningkatkan koordinasi dan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor. Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Ahli Parlimen DAP untuk Bangi Dr Ong Kian Ming telah dilantik sebagai penyelaras OSC bagi Lembah Klang.
Walaupun dengan suasana politik yang toksik sekarang ini, DAP bersedia bekerjasama dan menyelaraskan program vaksinasi dengan kerajaan sekarang yang telah hilang majoriti parlimennya untuk melawan COVID-19 bersama-sama di Pulau Pinang. Suatu sistem yang serupa di Pulau Pinang seperti OSC Lembah Klang, dengan seorang Ahli Parlimen Pulau Pinang yang dapat diterima oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu segera dilaksanakan untuk meletakkan kepentingan kesihatan awam mengatasi politik kepartian.
Imuniti kelompok perlu dicapai melalui suntikan vaksin, dan bukan melalui jangkitan dan suntikan vaksin. Lebih daripada 80% kes COVID-19 di Pulau Pinang adalah yang tidak divaksinasi. Sekiranya OSC di Lembah Klang boleh mencapai 102.7% penduduk dewasa yang menerima dos pertama SEKARANG, mengapa tidak melakukan perkara yang sama untuk Pulau Pinang dan tidak menunggu sehingga September?
Kelewatan setiap hari menyebabkan lebih banyak jangkitan dan kehilangan nyawa yang berharga. Turut sama pentingnya ialah vaksinasi yang lebih cepat akan membolehkan ekonomi di Pulau Pinang dibuka semula dengan lebih cepat. Kerajaan Persekutuan perlu menerima sasaran baru 100% penduduk dewasa di Pulau Pinang yang menerima dos pertama sebelum Hari Merdeka dan bukan pada bulan September.