Skip to content

Dengan melakukan pusingan-u terhadap tiga janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja telah membuktikan bahawa beliau telah menjadi tebusan para ekstremis dan merupakan seorang pemimpin yang tidak menepati janji, malah menandakan ajal 1Malaysia dan gerakan moderatnya

Dengan melakukan pusingan-u terhadap tiga janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja telah membuktikan bahawa beliau telah menjadi tebusan para ekstremis dan merupakan seorang pemimpin yang tidak menepati janji, malah menandakan ajal 1Malaysia dan gerakan moderatnya. Kenyataan Najib semalam yang mengambil langkah ke belakang daripada komitmen asalnya untuk memansuhkan Akta Hasutan yang pertama kali disebut pada 2012 adalah suatu pemberian yang menyedihkan di ambang negara menyambut Hari Malaysia ke 51.

Najib telah membuat janji ini buat kali pertama dua tahun lalu dalam sebuah ucapan di majlis makan malam Jabatan Peguam Negara, ia kemudian diulang dalam sebuah wawancara bersama rancangan BBC World News pada 2 Julai 2013 dan kemudian diulang lagi pada 6 September 2014. Jelas sekali sikap ‘flip-flop’ Najib ini menunjukkan bahawa beliau tidak mampu bersemuka dengan para ekstremis yang mahu supaya terlantiknya sebuah kepimpinan diktator dengan kuasa autoritarian demi mencabul hak asasi manusia.

Sebagai seorang tebusan kepada para ekstremis, Najib mesti mengakui bahawa gerakan moderatnya dan gagasan 1Malaysia adalah suatu kegagalan. Tidak hairanlah kenapa Najib baru-baru ini membuat keputusan untuk mewujudkan satu lagi laman web peribadi untuk menjauhkan diri dari laman web sebelum ini, www.1malaysia.com.my, yang nampaknya telah tercemar dengan rantaian janji yang telah dimungkiri.

Siri pendakwaan menghasut terhadap pemimpin Pakatan Rakyat malah terhadap seorang pensyarah undang-undang yang tidak mempunyai kaitan politik, digabungkan dengan siasatan terbaru terhadap peguam Edmund Bon, menunjukkan bahawa wujud pendakwaan terpilih oleh Peguam Negara. DAP mengecam keras tindakan sedemikian yang bermotifkan politik kerana tiada pula tindakan tegas diambil terhadap Perkasa atau pemimpin Umno yang membuat kenyataan yang berbaur hasutan terhadap orang bukan-Melayu dan bukan-Islam, termasuk Perkasa yang pernah mengugut untuk membakar Bible berbahasa Melayu.

Jika Azmi Shahrom, seorang pensyarah undang-undang yang pernah menjadi Timbalan Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, fakulti undang-undang utama dalam negara, boleh dituduh menghasut kerana memberikan pendapat ilmiahnya, tidak ada harapan lagi terhadap kedaulatan undang-undang di Malaysia. Pada masa yang sama, masalahnya asas seperti keberhutangan tinggi dan defisit belanjawan kerajaan serta rasuah tidak ditangani.

Hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat 100% daripada RM266 bilion pada penghujung 2007 menjadi RM542 bilion pada penghujung 2014, sementara hutang isirumah adalah yang kedua tertinggi di Asia pada kadar 87% daripada KDNK, menjadi kenaikan kos sara hidup satu masalah yang semakin serius di kalangan rakyat berpendapatan rendah. Malah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pun telah menyatakan kebimbangannya mengenai perihal kewangan 1MDB yang didanai hutang beranggaran RM38 bilion, dan pendapatan operasi 1MDB pun tidak cukup untuk membayar balik faedah pinjamannya.

Jelas sekali, rakyat Malaysia akan menyambut Hari Malaysia yang kelam, dengan keadaan hak dan perasaan kita diinjak-injak golongan ekstremis manakala suara kesederhanaan perlahan-perlahan ditindas dan didakwa, manakala harapan untuk masa depan yang lebih cerah untuk hidup secara bermaruah nampaknya kian malap.