Skip to content

Dengan membuka semula siasatan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, BN bukan sahaja tidak menghiraukan mandat majoriti 52% yang telah diberikan kepada PR, tetapi juga berusaha sehabis mampu untuk menamatkan kerjaya politik Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

Dengan mempertahankan Akta Hasutan 1948 secara terbuka, sebagai suatu keperluan untuk menjaga keharmonian dalam masyarakat majmuk, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low adalah lebih teruk berbanding rakan sekerjanya yang bukan ahli politik Datuk Seri Idris Jala, yang menyuarakan bantahan terbuka terhadap Akta Hasutan namun tidak berani menyatakan bantahanya dalam mesyuarat Kabinet. Mempertahankan keperluan Akta Hasutan dengan alasan perlunya ada garis pemisah antara kebebasan bersuara secara bertanggungjawab, dan menimbulkan huru-hara dalam masyarakat serta menafikan bahawa BN cuba menimbulkan ketakutan atau menghalang orang ramai daripada mengkritik kerajaan, Paul Low telah berubah daripada seorang aktivis masyarakat menjadi seorang yang sama sahaja seperti ahli politik UMNO-BN.

Bagaimana Paul Low boleh bersikap begitu buta, tidak berperasaan dan tidak bertanggungjawab untuk melihat bahawa Akta Hasutan digunakan sebagai senjata politik tehadap mereka yang menentang BN dan yang mahu dihapuskan oleh BN? Sikap double-standard dan pendakwaan terpilih oleh Peguam Negara telah menjangkau bukan sahaja pemimpin Pakatan Rakyat dan wakil-wakil rakyatnya, malah juga turut melibatkan ahli akademik dan pensyarah fakulti undang-undang terbaik di negara ini yang bukan seorang ahli politik; yang dikecam hebat oleh semua organisasi hak asasi manusia.

Ekstremis dan pelampau kaum yang menyokong BN, yang membuat kenyataan mahu membakar Bible berbahasa Melayu atau mahu menimbulkan keganasan termasuk untuk menampar Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok serta mahu memancung kepala pemimpin Pakatan Rakyat, tidak pula didakwa menghasut. Malah Marina Mahathir sendiri pun mengeluh bahawa Utusan Malaysia menikmati kekebalan, dan kebebasan penuh untuk mengeluarkan kenyataan paling menghasut tanpa perlu risau akan sebarang hukuman.

DAP kesal dengan transformasi Paul Low dari ‘Dr Jekyll’ menjadi ‘Mr Hyde’ dengan mengubah pendiriannya daripada menentang kini menyokong Akta Hasutan sebagai suatu langkah oportunis yang keji dan terancang demi kekal menikmati faedah dan kelebihan menjadi seorang menteri. Beliau kini sudah tidak lagi dipandu oleh dorongan moral atau idealisme tentang kebebasan bersuara, yang kini dianggapnya berbahaya; tetapi kini menumpukan kepada usaha mengehadkan kebenaran berbanding mengawal kebatilan.

Tidak ada yang memberi tumpuan lebih baik terhadap tirani dan penindasan Akta Hasutan selain siasatan yang dilakukan terhadap pemimpin DAP yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang baru-baru ini serta terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan membuka semula siasatan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas ucapan yang dibuatnya tiga tahun lalu, BN bukan sahaja tidak menghiraukan mandat majoriti 52% yang telah diberikan kepada Pakatan Rakyat, tetapi juga berusaha sehabis mampu untuk menamatkan kerjaya politik Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Paul Low kini sebahagian daripada masalah, dan bukan sebahagian daripada penyelesaian yang dijanjikan.