Skip to content

Dengan terus menyalahkan masyarakat Cina dan 51% rakyat Malaysia yang menolak BN serta menyokong PR, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu terus menjadi PM minoriti untuk 47% rakyat Malaysia sahaja

Dengan terus menyalahkan masyarakat Cina dan 51% rakyat Malaysia yang menolak BN serta menyokong Pakatan Rakyat, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu terus menjadi Perdana Menteri minoriti untuk 47% rakyat Malaysia sahaja. Rakyat Malaysia amat terkejut dengan tindakan menabur umpan perkauman yang hanya boleh disifatkan sebagai jenayah kebencian oleh pemimpin UMNO, Utusan Malaysia, seorang bekas hakim dan juga seorang pro-canselor sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam.

Tindakan yang begitu memalukan oleh mereka yang kononnya golongan cerdik pandai mengingatkan kita bagaimana Hitler menghasut golongan elit berpendidikan di Jerman untuk menyokong teori keagungan kaumnya. Sekarang penyokong UMNO sedang mencadangkan supaya diboikot beberapa perniagaan masyarakat Cina. Adakah ini perdamaian nasional yang sedang diperkatakan oleh Najib? UMNO mesti memutuskan sama ada ia mahu menyetujui gagasan 1Malaysia atau terus mengikuti jalan yang merbahaya tanpa boleh berpatah balik.

UMNO sedang marah dan berada dalam penafian apabila ia kalah undi popular dalam PRU ke 13 manakala Pakatan Rakyat menjadi koalisi pembangkang pertama yang menang undi popular dalam sejarah Malaysia. Adakah UMNO telah menganalisa kesilapannya, bagaimana bukan sahaja pengundi Cina, malah India, Melayu bandar, Kadazan dan Iban meninggalkan BN walaupun BN berusaha melakukan politik wang secara meluas dan mengugut para pengundi?

Bagaimana UMNO boleh mengharapkan bukan sahaja pengundi Melayu malah pengundi bukan Melayu untuk menyokong BN sedangkan ia meletakkan calon-calon rasis seperti Ibrahim Ali dan Zulkifli Noordin dari Perkasa? Bagaimana mungkin UMNO boleh berharap pengundi Melayu serta yang bukan Melayu untuk menyojong BN apabila UMNO dengan bangga berelukan dengan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai teman berkongsi kuasa? Jangan harap pengundi Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama untuk menyokong BN secara membuta tuli, apabila calon-calonnya pun menjadi simbolik atas segala yang tidak kena dengan BN dengan menjadi korup, rasis dan tidak bermoral.

Kalau UMNO berang kerana kalah undi popular kepada Pakatan Rakyat, Pakatan Rakyat lebih kecewa kerana tidak mengambil alih pentadbiran Putrajaya walaupun memenangi mandat yang jelas dalam PRU ke 13 dengan 51% undi popular. Pakatan Rakyat dan 51% rakyat Malaysia yang telah mengundi menyokong Pakatan Rakyat amat yakin bahawa kita semua telah ditipu dan kemenangan kita telah dirompak.

Pakatan Rakyat telah mengadakan beberapa perhimpunan aman untuk mendesak reformasi pilihanraya, sebuah Suruhanjaya Pilihan Raya yang bersih dan tidak berpihak yang boleh melaksanakan sebuah proses pilihan raya yang adil dengan menghormati prinsip “satu orang, satu undi, satu nilai”. Sokongan hebat menuntut reformasi pilihanraya dalam siri perhimpunan di seluruh negara yang diatur oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperlihatkan keinginan rakyat untuk sebuah pilihan raya yang adil.

Harinya akan tiba…

BN dan UMNO harus menyedari bahawa anjakan paradigma dalam PRU kali ini jelas memperlihatkan bahawa rakyat Malaysia sudah tidak mahu hidup dalam masa lalu yang penuh ketakutan dan kebencian. Rakyat Malaysia mahu hidup dalam sebuah masa depan yang dipenuhi harapan, di mana negara Malaysia bebas daripada kejahilan, kemiskinan, penindasan hak asasi manusia dan bebas daripada rasuah.

Bagi melupakan kisah silam, kita mesti menuntut pentadbiran yang baik serta prestasi yang baik daripada menteri-menteri. Jika kita mahu mendapat manfaat daripada peluang saksama dan merealisasikan pontensi insan yang kita ada, kita mesti menghentikan semua ekstremis daripada terus merendahkan golongan lain sebagai lebih hina, demi mengangkat martabat kita semua.

Kita hanya boleh hidup makmur secara bersama. Masanya telah tiba untuk memberi tumpuan kepada ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan peluang perniagaan sebagai pra syarat kemakmuran. Kita mesti membina bakat manusia dan menilai berdasarkan prestasi.

Harinya akan tiba apabila perpaduan perkauman satu kaum akan berganti dengan perpaduan kebangsaan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Di mana tragedi 13 Mei tidak akan lagi menghantui negara tetapi digantikan dengan 5 Mei sebagai sambutan meraikan tumpasnya kebencian dan ketakutan dengan kasih sayang dan harapan.

Harinya akan tiba di mana yang muda, yang tua, lelaki dan wanita daripada semua warna kulit akan berpimpin tangan untuk mengatakan tidak kepada politik perkauman dan ektrimisme agama. Di mana mereka yang berkuasa tidak lagi boleh menikmati jalan hidup korup dengan terus memecahbelahkan negara.

Harinya akan tiba apabil kuasa rakyat akan menjadi lebih kuat daripada mereka yang berkuasa. Di mana perubahan tidak boleh lagi ditahan-tahan; perubahan adalah kemajuan. Seperti yang disebut Victor Hugo, “Tidak ada kuasa di dunia yang boleh menghalang sebuah ide yang sudah sampai masanya”.