Skip to content

Dengan wang semakin habis untuk memerangi kesan kerugian ekonomi dan Covid-19, Ismail Sabri perlu berhenti mengelak dari tanggungjawab sebaliknya memimpin pengurusan dengan menyuntik RM45 billion bagi mengelak kehabisan dana

DAP amat ragu-ragu terhadap komitmen Perdana Menteri Ismail Sabri untuk melakukan reformasi institusi melalui sebarang kesepakatan dengan Pembangkang bagi melancarkan usaha keseluruhan negara melawan pandemik COVID-19 ketika dia sendiri tidak komited untuk menyelamatkan ekonomi dengan menolak untuk mempengerusikan Jawatankuasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). PPN sepatutnya menjadi pelan halatuju untuk mengawal pandemik COVID-19 di samping secara progresif membuka kembali sektor sosial dan ekonomi ke arah yang normal baharu menjelang Disember 2021.

Disebabkan kepentingannya, PPN telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri sebelum ini dengan para ahli yang terdiri daripada semua sektor bagi menunjukkan usaha keseluruhan masyarakat untuk menang dalam pertempuran melawan COVID-19 dan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan. Pelantikan Mahiaddin Md Yassin oleh Ismail sebagai Pengerusi Jawatankuasa PPN dengan status Menteri hanya menunjukkan ketiadaan komitmen Perdana Menteri baru Ismail Sabri terhadap PPN dalam usaha menormalkan ekonomi dan negara.

Sekiranya Ismail tidak mempunyai komitmen terhadap Jawatankuasa PPN, bagaimana Ismail kemudian dapat memberikan keyakinan bahawa dia akan memberi komitmen terhadap reformasi institusi seperti Undang-undang Anti Lompat Parti bagi mengurangkan kejadian lompat parti oleh Ahli Parlimen yang mengkhianati mandat pilihanraya mereka? Tindakan tersebut tidak menunjukkan komitmen yang diberikan sebelum ini oleh Ismail ketika bertemu dengan 3 pemimpin Pakatan Harapan di pejabatnya di Putrajaya pada 25 Ogos.

PPN perlu menggunakan kuasa sebenar untuk bertindak segera dan tidak diperlecehkan menjadi sekadar “warung kopi” yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri yang gagal, yang dilihat bertanggungjawab sehingga menyebabkan krisis kesihatan dan kemelesetan ekonomi terburuk negara dengan kerugian ekonomi lebih daripada RM500 bilion, dan jumlah kumulatif 1,862,187 kes jangkitan dan 18,491 kematian, menjadikan Malaysia antara negara tertinggi di dunia daripada segi jangkitan harian per kapita. Apa yang boleh dilakukan Mahiaddin sekarang untuk mengubah keadaan ekonomi sebagai bekas Perdana Menteri ketika dia telah gagal melakukannya ketika menggunakan kuasa penuh Perdana Menteri walaupun telah melancarkan 8 pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion?

Jawatan Pengerusi Jawatankuasa PPN tidak boleh dipandang sebagai perhiasan semata-mata untuk dijadikan “rubber-stamp” dasar ekonomi yang telah gagal atau sebagai saguhati politik yang ditawarkan oleh Ismail kepada Mahiadddin setelah dipaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos. Negara sedang menghadapi masalah yang nyata dengan dana semakin berkurangan untuk memerangi kemelesetan ekonomi dan pandemik COVID-19, yang tiba pada masa yang paling tidak bernasib baik ketika pandemik COVID-19 berada di kemuncak dengan semua varian COVID-19 berisiko tinggi yang berbahaya memberi ancaman jangkitan selepas divaksinasi (breakthrough infection).

Dengan wang semakin habis untuk separuh kedua tahun ini, sangat penting agar dana langsung tambahan RM45 bilion disediakan untuk mengelak Malaysia terbeban dengan gelombang COVID-19 yang baru. Dengan wang semakin habis untuk memerangi kesan ekonomi yang merugikan dan pandemik COVID-19, Ismail Sabri perlu berhenti mengelak dari tanggungjawab, sebaliknya memimpin pengurusan ekonomi dengan menyuntik RM45 bilion secara langsung untuk mengelakkan kehabisan dana. Tidak ada masa untuk dibazirkan dengan memberi keutamaan kepada permainan politik penawaran jawatan dan kedudukan ketika fokus perlu diutamakan pada usaha memerangi COVID-19 demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.