Skip to content

Desakan Akmal Saleh Keluar Kerajaan Seumpama Bahan Lawak “PAS Rampas Kerusi UMNO, Akmal Tetap Cintai PAS”

1. DAPSY Kebangsaan menyifatkan gesaan Akmal Saleh untuk memaksa UMNO keluar daripada kerajaan perpaduan sebagai bahan lawak politik. Walaupun sudah berlarutan selama tiga hari untuk mendesak parti sendiri keluar kerajaan, namun tiada seorang pun pimpinan tertinggi UMNO yang menyahut desakannya.

2. UMNO melalui PAU 2023 telah memutuskan untuk menyokong kerajaan perpaduan hingga tamat penggal. DAPSY juga berpegang kepada prinsip bahawa kerajaan mesti terus memacu reformasi. Nasihat DAPSY kepada pihak yang tidak selesa dengan agenda reformasi khususnya perangi rasuah, teruslah keluar daripada kerajaan serta-merta tanpa perlu tunggu. Boleh sahaja menyertai bos Kajang yang disabit hukuman lantaran tindakan rasuah.

3. Pada tahun 2020, kerajaan yang ditubuhkan “penyatuan” UMNO–Bersatu–PAS jelas terbukti telah membawa ketidakstabilan politik dan kelembapan ekonomi. Malah, pada PRU 2022, PAS dan Bersatu telah merampas banyak kerusi tradisi UMNO. Tindakan mendesak UMNO untuk mengulangi langkah tersebut hanyalah menolak parti sendiri ke kancah kekalahan yang sama.

4. Realiti politik kini adalah bahawa PAS bukan sekadar merupakan pesaing UMNO, malah juga adalah liabiliti dalam tadbir urus negara. Itulah sebabnya selain Akmal, pimpinan UMNO lain memilih berhati-hati dan tidak melayan gimiknya yang memecahbelahkan.

5. Jika Akmal Saleh masih yakin dan mengharapkan PAS akan menyelamatkan bos yang menetap di Kajang, itu sebenarnya adalah sekadar khayalan disebabkan realitinya PAS hanya menunggang UMNO untuk memperluas pengaruhnya.

6. DAPSY ingin menegaskan bahawa rakyat Malaysia berbilang kaum memerlukan sebuah kerajaan yang bekerja dan mampu menjanakan kemakmuran, peluang pekerjaan, dan menaiktarafkan perkhidmatan asas, bukan politik perkauman & keagamaan yang gagal mentadbir di Kelantan, Terengganu, Kedah & Perlis.

7. DAPSY menyeru semua parti politik untuk terus berkomited dalam menjamin kestabilan politik dan terus melaksanakan agenda reformasi dalam kerangka kerajaan perpaduan. Hentikan gimik dan fokuskan prestasi masing-masing. Rakyat sedang menilai.